AM

PENYASARAN SUBSIDI DIESEL: LANGKAH BERANI URUS SUBSIDI DENGAN LEBIH CEKAP

05/07/2024 06:35 PM

KANGAR, 5 Julai (Bernama) -- Walaupun keputusan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel dianggap tidak popular, namun ia merupakan langkah berani untuk pengurusan subsidi negara yang lebih cekap bagi tempoh jangka panjang, kata Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Madya Dr Mohd Zukime Mat Junoh.

Beliau berkata rakyat perlu menyedari bahawa pengurusan subsidi negara ketika ini adalah kritikal, maka penyasaran subsidi adalah demi kesejahteraan rakyat pada masa depan.

“Langkah kerajaan itu merupakan keputusan tidak popular, tetapi ia akan memberikan hasil positif terhadap pengurusan subsidi negara untuk tempoh jangka panjang, sekali gus menyumbang kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) dan manfaatnya akan kembali semula kepada rakyat,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kebaikan rasionalisasi subsidi bersasar untuk jangka masa panjang itu antaranya dapat membangunkan ekonomi yang inklusif iaitu menggalakkan diversifikasi ekonomi bagi mengurangkan kebergantungan kepada sektor tertentu selain memastikan peluang pekerjaan lebih meluas.

“Selain itu, ia dapat meningkatkan pelaburan dalam infrastruktur asas dan teknologi untuk merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.

Mohd Zukime turut mencadangkan kerajaan mengambil pendekatan holistik dan inklusif terhadap reaksi orang ramai berhubung penyasaran subsidi, antaranya melalui kempen penerangan yang jelas kepada rakyat.

“Rakyat perlu faham rasional di sebalik keputusan itu termasuk bagaimana ia akan memberi manfaat jangka panjang kepada ekonomi dan rakyat,” katanya.

Selain itu beliau berkata pemantauan jitu terhadap bantuan Budi MADANI perlu dilakukan dari semasa ke semasa agar golongan sasar yang betul menikmati subsidi bersasar.

Sementara itu Pensyarah Kanan Fakulti Muamalat dan Kewangan Islam Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) Badrul Hisham Abd Rahman berkata pelaksanaan penyasaran subsidi diesel adalah bagi memastikan kemampanan fiskal dan menggalakkan penggunaan bahan api yang lebih cekap.

Beliau berkata bantuan kerajaan untuk rakyat juga perlu disasarkan dengan efisien dan adil mengikut industri serta kadar penggunaan yang boleh dilaksanakan melalui penggunaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan