DUNIA

RINGGIT DITUTUP TINGGI BERBANDING DOLAR AS

05/07/2024 07:47 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan penggiat pasaran menunggu data senarai gaji bukan ladang AS yang akan dikeluarkan malam ini, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit menokok kepada 4.7065/7110 berbanding dolar AS daripada 4.7080/7100 semasa ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Rashid berkata data AS yang lebih lemah menunjukkan Rizab Persekutuan mungkin berhasrat memulakan kitaran pelonggaran monetarinya seawal September.

"Langkah ini bagi memastikan trajektori pertumbuhan akan kekal stabil," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan merosot berbanding yen Jepun kepada 2.9286/9315 daripada 2.9195/9209 semasa ditutup pada Khamis, rendah berbanding euro kepada 5.0953/1001 daripada 5.0837/0859 semalam dan berkurangan berbanding pound Britain kepada 6.0182/0240 daripada 6.0022/0048 memandangkan Parti Buruh akan membentuk kerajaan United Kingdom yang seterusnya berikutan keputusan pilihan raya terkini.

Menurut laporan, Perdana Menteri Britain Rishi Sunak telah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ketua Parti Konservatif.

Ringgit juga ditutup rendah berbanding mata wang Asean.

Mata wang tempatan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 289.1/289.5 daripada 288.2/288.5 semasa ditutup pada Khamis, merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.4876/4912 daripada 3.4830/4848 semalam, lemah berbanding baht Thailand kepada 12.8646/8818 daripada 12.8483/8590 sebelumnya, dan susut berbanding peso Filipina kepada 8.04/8.05 daripada 8.03/8.04.

Pasaran akan ditutup pada Isnin, 8 Julai 2024, bersempena dengan cuti ganti Awal Muharam dan menyambung dagangan pada Selasa.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan