AM

MELAKA LIHAT PELBAGAI SUDUT BERKAITAN KELANTANGAN PEMBESAR SUARA MASJID

09/07/2024 01:27 PM

MELAKA, 9 Julai (Bernama) -- Kerajaan Melaka akan meneliti pelbagai sudut berkaitan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenaan kelantangan pembesar suara masjid.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata sebagai Ketua Agama Islam Negeri-negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak dan Wilayah-wilayah Persekutuan, titah Yang di-Pertuan Agong itu perlu dipatuhi oleh kerajaan negeri.

“Kita sedang memperhalusi dan melihat dari pelbagai sudut tentang titah tuanku bersesuaian dengan keadaan Melaka.

“Jadi sekiranya garis panduan ini mengambil kira pembesar suara dalam kawasan, kita ikut lokaliti lah… sekiranya ada saranan ataupun komen-komen daripada pihak-pihak tertentu,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Sultan Ibrahim sebelum ini bertitah laungan azan yang menggunakan pembesar suara sama di masjid mahupun surau wajar dilakukan secara lantang apabila masuk waktu lima solat fardu setiap hari.

Seri Paduka Baginda bagaimanapun bertitah penggunaan pembesar suara untuk bacaan al-Quran, solat fardu dan kuliah agama pula perlu terhad dalam kawasan masjid atau surau sahaja.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan