AM

HUKUMAN BERAT BAGI PENTERNAK BIAR HAIWAN BERKELIARAN SEBABKAN KEMALANGAN MAUT DICADANGKAN

09/07/2024 04:40 PM

IPOH, 9 Julai (Bernama) -- Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mencadangkan satu enakmen baharu diwujudkan bagi menghukum penternak yang membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran sehingga menyebabkan kemalangan maut kepada manusia.

Angeline Khoo Hai Yen (PH-Keranji) yang mengemukakan cadangan tersebut dalam satu usul persendirian berkata di bawah enakmen tersebut, mesti mewajibkan kesemua penternak haiwan menandakan lembu dan kerbau masing-masing.

“Jikalau haiwan ternakan mereka didapati merupakan punca mengakibatkan kemalangan maut, penternak tersebut patut dikenakan hukuman serius yang setimpal seperti di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan,” katanya ketika membentangkan usul tersebut pada persidangan DUN di sini hari ini.

Angeline berkata jika sabit kesalahan, hendaklah dihukum penjara minimum dua tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan maksimum RM20,000.

Beliau berkata hukuman tersebut dipercayai boleh menjadi satu pencegahan untuk penternak-penternak supaya tidak lagi melepaskan haiwan ternakan mereka berkeliaran di jalan raya dan membahayakan pengguna.

“Selain itu, saya mencadangkan pemilik haiwan ternakan hilang hak tuntutan semula, jika haiwan ternakan gagal didaftarkan atau ditanda setelah disita oleh PBT (pihak berkuasa tempatan).

“Tindakan drastik ini akan memaksa penternak untuk mendaftarkan haiwan ternakan mereka dan memudahkan pihak berkuasa untuk membuat penguatkuasaan,” tegasnya.

Angeline berkata Enakmen Kawalan Kerbau dan Lembu 2001 Negeri Pahang boleh dijadikan rujukan untuk mewujudkan enakmen tersebut di Perak.

Beliau berkata di bawah enakmen negeri Pahang itu, semua kerbau atau lembu adalah dilarang berada, dipelihara, disimpan, dialih atau dipindahkan dalam kawasan larangan iaitu permukaan jalan, kawasan dalam lingkungan 20 meter dari bahu jalan dan semua tempat awam.

“Jika mana-mana kerbau atau lembu didapati berada, dipelihara, disimpan, dialih atau dipindahkan dalam kawasan larangan, boleh ditangkap mengikut cara yang difikirkan sesuai oleh pihak berkuasa berkenaan atau pegawai diberi kuasa tanpa memberi apa-apa notis.

“Saya yakin dengan adanya satu enakmen baharu untuk kawalan haiwan berkeliaran di negeri Perak, banyak masalah kerbau dan lembu yang sedia ada dapat diselesaikan atau ditangani,” kata Angeline.

Sementara itu, Ishsam Shahruddin (BN-Ayer Kuning) ketika membahaskan usul berkenaan berkata usul itu membawa kebaikan bukan sahaja kepada masyarakat umum, tetapi juga kepada penternak dan industri penternakan itu sendiri.

Beliau berkata kewujudan enakmen itu juga dapat membantu dalam mengurangkan kejadian haiwan ternakan yang berkeliaran di jalan raya yang sering menyebabkan kemalangan dan gangguan kepada lalu lintas.

"Dalam konteks ini saya ingin menekankan bahawa dalam enakmen ini bukanlah untuk menyusahkan penternak, tetapi untuk membantu mereka menjalankan aktiviti penternakan dengan lebih baik dan teratur.

"Kerajaan boleh menyediakan sokongan dalam bentuk teknikal, khidmat nasihat dan mungkin juga bantuan kewangan untuk membantu penternak mematuhi pertaturan-peraturan yang ditetapkan," katanya.

Dalam pada itu, Datuk Zainol Fadzi Paharudin (PN-Sungai Manik) berkata secara keseluruhan kerajaan negeri tidak boleh beri pengkhususan kepada haiwan ternakan sahaja kerana segala tindakan akan terbatas, ia juga memerlukan penglibatan jabatan dan agensi berkaitan haiwan liar.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan