EKONOMI

TAKAFUL IKHLAS ANJUR IKHLAS ACTIVE ZON, TEKANKAN GAYA HIDUP SIHAT DAN KESEDARAN TAKAFUL

10/07/2024 09:08 AM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Takaful Ikhlas Family Bhd dan Takaful Ikhlas General Bhd (Takaful IKHLAS) buat julung kalinya menganjurkan program “IKHLAS Active Zone,”  program mesra komuniti untuk dekat dengan komuniti di samping memberi kesedaran mengenai kepentingan takaful serta konsep perlindungan takaful kepada masyarakat.

Program yang berlangsung selama empat hari di ibu negara bermula 5 Julai dan berakhir semalam turut mengetengahkan konsep gaya hidup sihat dan aktif melalui pelbagai aktiviti kecergasan dan interaktif yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Family Muhammad Fikri Mohamad Rawi berkata program ini adalah sebahagian daripada komitmen Takaful IKHLAS dalam menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.

“Kami percaya aktiviti di lapangan seperti ini akan mendekatkan kami dengan masyarakat serta berinteraksi dan berkomunikasi secara langsung untuk memberi penjelasan mengenai perlindungan takaful secara lebih jelas dan terperinci,” katanya dalam kenyataan.

Muhammad Fikri berkata, sebagai syarikat yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam industri perkhidmatan perlindungan kewangan, Takaful IKHLAS akan terus komited memberikan penyelesaian dan bimbingan kepada masyarakat dalam aspek perlindungan kewangan seperti kepentingan takaful.

“Melalui inisiatif seperti ini, kami berharap dapat menjalinkan hubungan lebih erat dengan masyarakat. Kami yakin dengan pengalaman yang ada, Takaful IKHLAS memahami keperluan masyarakat dalam aspek perlindungan takaful,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan