AM

LEMON LAW: SKIM OMBUDSMAN KHAS INDUSTRI AUTOMOTIF ANTARA AGENDA KAJIAN - ARMIZAN

09/07/2024 09:29 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai Bernama) -- Cadangan mewujudkan skim ombudsman khas untuk industri automotif di Malaysia sebagai suatu mekanisme bagi menyelesaikan pertikaian di antara pengguna dan syarikat automatif akan dijadikan antara agenda dalam Kajian Pewujudan Perundangan berkaitan Lemon Law.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata elemen penyelesaian pertikaian alternatif yang merupakan antara ciri utama dalam skim ombudsman sedang dirintis kementerian sebagai kaedah penambahbaikan serta-merta dan langkah interim.

“Ini dilaksanakan melalui penubuhan Pasukan Rundingan Khas Berkaitan Aduan Kenderaan Bermotor di kementerian sebagai pemudah cara bagi aduan pengguna berkaitan kenderaan bermotor di Malaysia berkuat kuasa mulai 1 Jun 2024.

“Kaedah yang digunakan adalah rundingan tiga pihak antara Kementerian, pembeli kereta (pengguna) dan pengedar atau pengilang. Melalui platform rundingan khas ini, disasarkan akan dapat mencari solusi yang adil dan seimbang untuk semua pihak,” katanya dalam sesi Kamar Khas di Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai cadangan penubuhan ombudsman di Malaysia supaya pelaksanaan Lemon Law menjadi lebih holistik dan berkesan. 

Armizan berkata pendekatan itu sekali gus dapat mengurangkan kos dan tempoh penyelesaian sebagai alternatif kepada proses mahkamah dan tatacara perundangan lain.

“Dalam temu bual mendalam bersama pihak industri automotif, kita akan mendapatkan maklum balas industri terhadap ketersediaan mereka untuk terlibat dalam skim ombudsman khas tersebut,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kementerian juga sedia maklum isu dan kes terkait hak tebus rugi pengguna terhadap pembekal atau pengilang sekiranya barangan dibekalkan gagal mematuhi gerenti yang juga menyentuh beberapa perundangan lain.

“Ini termasuk beberapa akta dan peraturan merentasi kementerian dan agensi di Malaysia seperti Akta Kontrak 1950, Akta Jualan Barangan 1957 dan Akta Sewa Beli 1967. Atas sebab itu, kajian yang sedang dilaksanakan kementerian bersama kumpulan perunding ini juga akan melihat aspek ini merentasi semua kerangka perundangan,” katanya.

Beliau berkata Kajian Pewujudan Perundangan berkaitan Lemon Law yang bermula Jun lepas dijangka selesai hujung September ini di mana hasilnya akan dijadikan asas pertimbangan bagi menetapkan keputusan dasar di peringkat kementerian dalam menentukan hala tuju kerangka perundangan yang komprehensif dan kondusif dengan tuntutan semasa.

“Ini termasuk sama ada kita perlu menambah baik perundangan sedia ada iaitu Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) atau mewujudkan perundangan baharu,” katanya.

-- BERNAMA



 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan