AM

KPM PERINCIKAN CADANGAN SEDIAKAN ELAUN KOS SARA HIDUP TINGKATAN ENAM

09/07/2024 09:56 PM

KANGAR, 9 Julai (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) sedang memperincikan cadangan menyediakan elaun kos sara hidup pelajar dan guru penolong kanan tingkatan enam sebelum dibawa ke peringkat belanjawan negara melalui Kementerian Kewangan.

Menteri berkenaan Fadhlina Sidek berkata langkah itu antara usaha penjenamaan semula pendidikan tingkatan enam di negara ini, selain memastikan kualiti pendidikan itu diperluas dan dipertingkatkan.

"Antara inisiatif yang kita ingin beri tumpuan ialah melihat sudut elaun mereka, peranan dimainkan pentadbiran kolej tingkatan enam … untuk melihat peluang pendidikan bagi pelajar tingkatan enam ini diperluas," katanya.

Fadhlina berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Daurah Hadis 40 Imam Nawawi Peringkat Kebangsaan 2024 yang turut dihadiri Mufti Perlis Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin di sini hari ini. Program itu berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian melaksanakan beberapa inisiatif penting berhubung pembangunan pelajar di negara ini termasuk aspek kesihatan mental, antaranya penambahan guru kaunseling dan menambah baik sudut kepakaran mereka.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan