AM

ISU HRD CORP HANGATKAN SESI PERBAHASAN DEWAN RAKYAT

09/07/2024 09:57 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Isu tadbir urus Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) seperti didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 minggu lepas menghangatkan sesi perbahasan usul laporan itu pada  persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Antara lain, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) menuntut agar siasatan menyeluruh dijalankan termasuk kemungkinan salah guna kuasa  terhadap HRD Corp khususnya pada tempoh 2020 hingga 2022.

“Banyak penyelewengan yang berlaku. Arahan siapa, siapa yang memberi arahan kepada mereka hingga mereka berani membuat salah. (Contoh dalam laporan) Bangunan Pejabat Tapah (pusat komuniti), kenapa nak buat di Tapah? Jawapannya (dalam laporan) pada ketika itu, menteri  adalah dari Tapah,” katanya.

Turut menyokong, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mencadangkan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong supaya membawa isu HRD Corp itu kepada pihak polis supaya siasatan boleh dilaksanakan secara menyeluruh. 

Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam LKAN 2/2024 mendedahkan terdapat tindakan serta keputusan diambil pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) turut dilapor mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.

Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) berkata isu pelaburan tidak teratur dan laporan tidak tepat diberikan kepada menteri sehingga menimbulkan krisis kepercayaan dalam kalangan rakyat adalah satu isu yang serius dan perlu diambil perhatian.

“Ini isu pengurusan daripada pengurusan tertinggi...jadi saya cadangkan perlu ada tindakan supaya CEO (Ketua Pegawai Eksekutif)  diberi cuti sementara ketika siasatan sedang dijalankan. Kerana kita tahu bahawa ini juga untuk memulihkan keyakinan rakyat serta pencarum terhadap HRD Corp.

Dalam LKAN 2/2024, Wan Suraya mengesyorkan supaya pengurusan HRD Corp dirujuk kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan ekoran kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.

Katanya terdapat tindakan serta keputusan diambil pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat itu.

Menurutnya Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan