DUNIA

MALAYSIA PAMER PRODUK HARTA INTELEK SEMPENA PERHIMPUNAN AGONG WIPO DI GENEVA

16/07/2024 06:34 PM

KUALA LUMPUR, Julai 16 (Bernama) -- Malaysia dan negara-negara anggota ASEAN telah menganjurkan Pameran Bersama bersempena dengan Perhimpunan Agung ke-65 Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) di Geneva, Switzerland.

Bertemakan “ASEAN Kreatif dan Mampan”, pameran yang berlangsung dari 9 hingga 17 Julai itu bertujuan mempromosikan industri kreatif dan produk harta intelek dari negara-negara anggota ASEAN.

Diadakan buat julung kalinya, pameran itu telah dikunjungi sekitar 1,000 delegasi yang menghadiri Perhimpunan Agung WIPO berkenaan.

Penyertaan Malaysia dalam pameran itu diterajui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Perutusan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva.

Perutusan Tetap Malaysia di Geneva dalam satu kenyataan kepada Bernama berkata antara produk harta intelek yang diketengahkan adalah berkaitan industri kreatif dan seni warisan tradisional serta kebudayaan negara seperti batik dan kraftangan Malaysia.

Selain itu, produk yang telah mendapat pengiktirafan Petunjuk Geografi (Geographical Indication) seperti Beras Bario, Lada Sarawak, Kek Lapis Sarawak, Dodol Melaka dan Songket Terengganu juga dipamerkan.

Syarikat Ruzzgahara yang mewakili Pertubuhan Kraf Malaysia turut menyertai pameran itu bagi membantu usaha mempromosikan batik dan kraftangan Malaysia.

Kemuncak pameran berkenaan adalah penganjuran majlis resepsi oleh negara-negara anggota ASEAN yang berlangsung semalam, yang turut menyaksikan Malaysia mempersembahkan tarian tradisional Melayu iaitu Zapin dan Joget.

Sebagai negara anggota, Malaysia dan WIPO menikmati jalinan hubungan dan kerjasama yang erat sejak 1989.

“Selain menerima manfaat menerusi perjanjian-perjanjian yang ditadbir oleh WIPO, Malaysia turut bekerjasama dengan organisasi berkenaan dalam pelbagai aspek pembangunan dan kemajuan ekosistem harta intelek negara, terutamanya menerusi program pembangunan kapasiti dan bantuan teknikal,” menurut kenyataan itu. 

Tambahnya, Perutusan Tetap Malaysia di Geneva memainkan peranan penting dalam memastikan keterlibatan Malaysia dalam pelbagai agenda dan inisiatif WIPO di peringkat antarabangsa, selaras dengan komitmen negara untuk terus mengembangkan potensi harta intelek sebagai pemangkin dan enjin utama pertumbuhan negara.

Selain meningkatkan daya saing, inovasi dan ilmu pengetahuan, harta intelek memainkan peranan penting dalam mendokong pembangunan dan kemakmuran ekonomi dan sosial di Malaysia.

Ia juga konsisten dengan hasrat Malaysia untuk mencapai tahap negara maju serta melestarikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjelang tahun 2030.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan