AM

PARLIMEN: AKTA INDUSTRI PELANCONGAN 1992 AKAN DIPERKASA, TINGKAT PENGUATKUASAAN

10/07/2024 12:36 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Akta Industri Pelancongan 1992 akan diperkasa bagi memastikan tahap penguatkuasaan lebih baik selari dengan usaha mengekang kes penipuan pakej pelancongan termasuk pakej umrah, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata penambahbaikan akta itu perlu memandangkan ia telah lama tidak diperbaharui selain membantu pengawasan kes penipuan pakej pelancongan.

"Untuk (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melakukan pengawasan setiap masa ia bergantung kepada aduan yang kita diterima, itu yang pertama.

"Keduanya, dari sudut kekangan pegawai penguat kuasa dari kementerian (MOTAC) yang tidak mungkin dapat kita melihat setiap kejadian tu secara tuntas," katanya pada sesi soal jawab.

Beliau menjawab soalan tambahan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengenai usaha kerajaan dalam membantu mangsa penipuan pakej pelancongan serta tindakan susulan terhadap syarikat pengendali yang terbabit dalam kes penipuan pakej pelancongan.

Sementara itu, Khairul Firdaus berkata MOTAC juga dijangka mengumumkan beberapa kriteria baharu Ogos ini dalam memastikan syarikat-syarikat pengendali umrah menjalankan perniagaan seperti dijanjikan mereka.

"MOTAC telah melakukan beberapa siri libat urus, sejak tahun lalu hingga tahun ini dan berdasarkan sesi libat urus ini kita akan mengintegrasikan syarikat-syaikat umrah ini supaya ia lebih tersusun dan teratur untuk mengekang kes penipuan," katanya.

Berhubung jumlah kes penipuan umrah dan haji sejak 2019 hingga Mei lepas, beliau berkata berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 252 kertas siasatan telah dibuka untuk kes penipuan umrah yang melibatkan kerugian RM9.81 juta.

Beliau berkata bagi statistik Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) pula, ia mencatatkan 1,549 kes berkaitan penipuan pakej umrah dengan jumlah tuntutan RM29.58 juta dan award berjumlah RM16.37 juta.

"Bagi 2023 hingga Mei 2024, MOTAC telah menerima 349 aduan umrah dengan kerugian RM14.09 juta, dan MOTAC telah menasihatkan pengadu membuat tuntutan dengan TTPM untuk tebus rugi dan laporan polis bagi kes penipuan.

"Sehubungan itu, MOTAC telah membuka 19 kertas siasatan berkaitan umrah dengan lapan kes telah dikompaun sebanyak RM241,000 dan yang lain masih dalam siasatan," katanya menambah dua agensi pengendali umrah turut digantung lesen berhubung kesalahan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992.

Khairul Firdaus berkata sehingga Mei lepas, MOTAC melalui kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga telah menyekat dan nyahaktif akaun laman sosial entiti tidak berlesen yang didapati menjual pakej pelancongan.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan