AM

PINDAAN AKTA PERUBATAN 1971 IKTIRAF KKM SEBAGAI INSTITUSI LATIHAN KEPAKARAN

16/07/2024 10:28 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Pindaan Akta Perubatan 1971 akan mengiktiraf Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai antara institusi dalam menyediakan latihan kepakaran seperti institusi pendidikan tinggi tempatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pindaan itu juga dapat memastikan keteraturan pelaksanaan latihan kepakaran dalam negara memandangkan kebanyakan latihan kepakaran dalam bidang perubatan dilakukan di fasiliti dan latihan dikendalikan pakar-pakar KKM.

“Dengan adanya peruntukan di bawah Perenggan 14B(3)(a) ini, KKM diiktiraf sebagai salah satu institusi yang boleh menyediakan latihan kepakaran sepertimana institusi pendidikan tinggi tempatan.

“Pengamal perubatan yang menjalani Latihan Kepakaran Laluan Paralel sedia ada dalam pelbagai bidang boleh disahkan sebagai tamat latihan oleh KKM setelah mereka memenuhi semua keperluan latihan,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perubatan (Pindaan) 2024 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam peruntukan itu juga katanya semua latihan kepakaran baharu sama ada Program Sarjana Perubatan atau laluan paralel boleh mendapatkan kelulusan dan pengiktirafan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

“Suatu program latihan boleh diiktiraf atau diluluskan MMC sekiranya ia memenuhi piawaian atau standard umum latihan kepakaran atau dikenali sebagai Malaysian Standards for Medical Specialist Training dan piawaian standard yang lebih spesifik mengikut bidang kepakaran atau Speciality Specific Requirements (SSR) yang disediakan MMC,” katanya.

Beliau berkata proses pengiktirafan dan kelulusan latihan kepakaran baharu yang disediakan institusi pendidikan tinggi tempatan akan diselaraskan selari dengan proses akreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia agar tidak timbul duplikasi proses kerja yang tidak perlu.

Rang Undang-Undang Perubatan (Pindaan) 2024 adalah bagi menambah baik peruntukan untuk melaksanakan proses pengiktirafan kelulusan dan latihan kepakaran pengamal perubatan.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan