AM

KEROPOK BERACUN: IBU REDA DENGAN TAKDIR MENIMPA ANAKNYA

10/07/2024 06:12 PM

GEORGE TOWN, 10 Julai (Bernama) -- Ibu kanak-kanak lelaki yang meninggal dunia selepas termakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim di Kedah pada Ahad, reda dengan takdir yang menimpa anaknya.

Nurain Hasnorizal, 25, berkata anak sulungnya Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, menghembuskan nafas terakhirnya ketika menerima rawatan di Wad Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini kira-kira 8.30 pagi tadi, manakala adiknya Muhammad Luth Syauqi, 2, masih dirawat di PICU. 

Beliau berkata keadaan anak sulungnya semakin merosot sejak malam tadi dan doktor memaklumkan supaya bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan.

"Saya berada disisinya sejak semalam sehingga Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pagi tadi dengan tenang.

"Memang dari semalam doktor yang merawat maklumkan keadaannya semakin tenat dan (doktor) minta saya berada dengan Akil jadi dari semalam saya sentiasa disisinya dan sepanjang rawatan arwah tiada sebarang tindak balas.

"Pagi tadi saya sempat baca surah Yassin sebelum anak saya pergi buat selamanya, saya reda dengan apa yang berlaku, memang sedih dan perit hilang anak sulung tapi saya tak sanggup lihat dia dalam keadaan sakit, kami sekeluarga terima ketentuan ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik HPP di sini hari ini.

Nurain yang bekerja di sebuah kilang di Kulim menyifatkan anak sulungnya itu seorang sangat manja dan rapat dengannya dan adiknya.

Beliau pasti akan merindui keletah Muhammad Akil Syauqi dan berharap anak bongsunya yang kritikal sekarang dapat sembuh dan pulih seperti sedia kala.

"Abang (Akil) memang manja dengan saya, sebelum ini kalau saya nak pergi kerja dia akan menanggis nak ikut (pergi kerja) tapi sehari sebelum kejadian itu dia hanya lambai sambil kata bye bye sahaja waktu saya naik (tunggang) motosikal nak ke tempat kerja," katanya menahan sebak.

Beliau berharap ada keajaiban untuk anak bongsunya dan memohon seluruh rakyat Malaysia mendoakan anaknya itu kembali sihat seperti sedia kala.

"Adik memang rapat dengan abang, kalau nak pergi mana-mana adik tak mau ikut abang pun nanti tak ikut sama..rapat sangat...kini adik sedang bertarung nyawa. Saya tak sanggup lihat keadaan adik macam ini. Adik koma saya tak pasti lagi keadaan dia macam mana tunggu jawapan doktor," katanya.

Sementara itu, beliau berkata ibu kepada pemilik kebun yang juga jirannya ada menghubunginya  kira-kira 10 malam tadi bagi memohon maaf. 

''Anak lelaki dia yang letakkan racun itu, saya kata tak apalah benda dah berlaku. Kita pun tak tahu nak kata apa lagi, kita cuma harap benda baik-baik sahaja," katanya.

Jenazah kanak-kanak malang itu akan dibawa pulang ke Kampung Padang Ubi selepas proses bedah siasat selesai.  

Media sebelum ini melaporkan dua beradik lelaki kritikal selepas dipercayai termakan keropok yang mengandungi racun tikus dan kejadian disedari ibu mereka pada 11 pagi selepas mendapati anak-anaknya muntah dan mulut berbuih.

Kedua-dua mangsa dipercayai mengambil satu peket keropok mengandungi racun tikus yang digantungkan pada dawai besi di sekeliling pagar kebun berdekatan rumah mereka, dipercayai digunakan untuk memerangkap monyet.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan