AM

MAGIC MUSHROOM : KERAJAAN KELANTAN AKAN BINCANG DENGAN JABATAN PENDIDIKAN NEGERI

10/07/2024 06:57 PM

KOTA BHARU, 10 Julai (Bernama) -- Kerajaan Kelantan akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan negeri berkaitan isu melibatkan pelajar sekolah menengah di negeri ini yang dikesan menghisap rokok elektronik (vape) yang dicampur magic mushroom.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata pihaknya akan meneliti lebih lanjut mengenai perkara itu.

“Saya akan teliti dahulu memandangkan saya baru mengetahui perkara ini dan akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan,” katanya kepada pemberita di Majlis Penutup Kelantan Membangun Bersama Islam International Conference 2024 di sini hari ini.

Mohamed Fadzli berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perbahasan yang dilontarkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Parlimen semalam mengenai kajian yang dilaksanakan Hospital Universiti Sains Malaysia terhadap 152 pelajar di Kelantan.

Saifuddin memaklumkan hasil kajian mendapati 65 peratus pelajar berkenaan dikesan terlibat menghisap rokok elektronik yang dicampur bahan dikenali sebagai magic mushroom, yang kesannya lebih menggerunkan daripada dadah jenis methamphetamine dan syabu.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan