AM

STOK SIMPANAN BEKALAN AIR EMPANGAN DI PULAU PINANG TERKAWAL

10/07/2024 08:37 PM

GEORGE TOWN, 10 Julai (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang menyatakan Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang menunjukkan baki stok simpanan air mentah semasa berada pada paras amaran, namun ia masih dalam keadaan terkawal.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata situasi baki stok kedua-dua empangan itu menunjukkan paras amaran berikutan pihaknya telah membuat penyelarasan di dua empangan tersebut bagi mempertahankan simpanan air di Empangan Air Itam.

"Sehingga kini kita masih pertahankan paras air di Empangan Air Itam dan kita buat penyelarasan dua empangan itu, iaitu kita ambil banyak air daripada Empangan Teluk Bahang dan dalam masa sama lepaskan banyak air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua kerana nak pertahankan paras air Empangan Air Itam supaya tidak turun sehingga 32 peratus.

"Penyelarasan itu membuatkan simpanan air di Empangan Air Itam meningkat setiap bulan. Kini di Empangan Teluk Bahang, walaupun ada hujan, kita ambil banyak air dari sana untuk dirawat... simpanan air  berkurang selalunya mencabar tetapi kita cuba kawalnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Chow ditemui selepas merasmikan Trak EV (kenderaan elektrik) pertama yang merentasi sempadan Malaysia di Jalan Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini.

Chow berkata secara keseluruhan, baki stok simpanan air empangan di Pulau Pinang terkawal dan ia mencukupi untuk kegunaan rakyat negeri itu.

Semalam, Agensi Pengurusan Bencana (NADMA) memaklumkan lima empangan menunjukkan baki stok simpanan air mentah semasa berada pada paras amaran iaitu kurang daripada 59.99 peratus. 

Memetik Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), agensi itu berkata lima empangan tersebut ialah Empangan Malut dan Empangan Pedu di Kedah, masing-masing sebanyak 36.10 peratus dan 50.50 peratus; Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Hitam, Pulau Pinang masing-masing sebanyak 37 peratus dan 56.70 peratus serta Empangan Timah Tasoh, Perlis dengan 42.60 peratus.

Rekod bagi bacaan paras bahaya adalah baki storan 29.99 peratus dan ke bawah, 30 peratus hingga 59.99 peratus (amaran) serta 60 peratus dan ke atas (normal).

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan