EKONOMI

PLATFORM ESGNEWSLYTICS AI BANTU SYARIKAT ANALISIS TOPIK ESG

11/07/2024 09:55 AM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Pemula niaga teknologi perhubungan awam (PR) tempatan, PubliCT.io telah memperkenalkan ESGNewslytics.AI, sebuah platform yang direka untuk menambah baik kaedah syarikat menganalisis liputan berita berkaitan topik tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat (ESG).

Ketua Pegawai Eksekutif, Manminder Kaur Dhillon berkata ESGNewslytics.AI, dilengkapi dengan algoritma kecerdasan buatan (AI) termaju bagi memenuhi keperluan khusus komunikator, pelabur dan pengawal selia.

“Dengan menganalisis data berita ESG yang meluas, ia memberikan pandangan masa nyata, analisis sektor serta industri secara menyeluruh dan terperinci, dengan tumpuan pada topik ESG yang penting,” katanya semasa majlis pelancaran di sini hari ini.

Manminder menjelaskan platform analitik itu akan menawarkan wawasan kritikal kepada syarikat untuk menilai semula dan menambah baik strategi ESG mereka.

Dengan menganalisis liputan media mengenai kata kunci ESG yang berkaitan, syarikat boleh mengukur keberkesanan inisiatif semasa mereka dan mengenal pasti bidang bagi penambahbaikan. 

Bercakap kepada Bernama kemudian, Manminder berkata matlamat syarikat itu adalah untuk membantu syarikat tersenarai awam di Malaysia membina naratif ESG yang dipacu data.

Beliau juga menyeru agar perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memanfaatkan platform tersebut.

“Kami menggalakkan PKS untuk mula membina naratif. Saya tahu ia mencabar kepada PKS kerana mereka masih mencari jalan tetapi syarikat yang akan mengambil mereka sebagai vendor, contohnya, CelcomDigi, akan mencari PKS yang sudah mengamalkan ESG. 

“Jadi, jika PKS mahu membida kontrak atau menjadi rakan kongsi bagi syarikat yang lebih besar, mereka perlu membangunkan strategi ESG mereka,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan