AM

KPDN PULAU PINANG SITA RM6,748 KEROPOK GUNA LOGO HALAL TAMAT TEMPOH

11/07/2024 10:32 AM

BUKIT MERTAJAM, 11 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menyita keropok pelbagai perisa bernilai RM6,748 kerana menggunakan logo halal Malaysia tamat tempoh sah, di sini semalam.

Pengarah KPDN Pulau Pinang S.Jegan berkata serbuan di sebuah premis rumah kedai dua tingkat yang dijadikan kilang itu dijalankan secara bersepadu bersama Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP).

"Hasil pemeriksaan mendapati kilang itu  disyaki masih menggunakan logo halal Malaysia pada bungkusan makanan ringan keropok pelbagai perisa yang dijual syarikat itu walaupun sijil halal telah tamat tempoh sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Perenggan 4 (1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011 iaitu semua makanan dan barang-barang tidak boleh diperihalkan sebagai halal atau diperihalkan dengan cara lain untuk menunjukkan makanan atau barang-barang itu boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam melainkan jika diperakukan sebagai halal oleh pihak berkuasa berwibawa.

Beliau berkata KPDN Pulau Pinang memberi amaran kepada peniaga agar tidak menggunakan logo halal Malaysia tanpa diperakui oleh pihak berkuasa berwibawa sama ada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan