AM

TERMAKAN KEROPOK BERACUN: KPWKM BERI KHIDMAT KAUNSELING KEPADA KELUARGA MANGSA

11/07/2024 05:48 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyediakan khidmat kaunseling kepada keluarga dua kanak-kanak yang termakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Kulim, Kedah. 

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihak kementerian sudah menyantuni keluarga mangsa serta memberikan khidmat kaunseling. 

"Kita lebih kepada kaunseling untuk mereka dan cuba meredakan keadaan. Yang lain kita biar pihak polis siasat.

"Saya amat bersimpati dengan kejadian yang menyebabkan seorang daripada kanak-kanak itu meninggal dunia. Kita mendoakan supaya adik mangsa (yang sedang dirawat) dapat diselamatkan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keenam (KPKM-6) 2024 di sini hari ini.

Beliau turut menyeru ketua masyarakat memainkan peranan dan memberi peringatan kepada penduduk supaya tidak melakukan tindakan sedemikian yang boleh menarik perhatian kanak-kanak dan menjadikan insiden itu sebagai iktibar. 

Kejadian itu menyebabkan Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) pagi semalam, manakala adiknya Muhammad Luth Syauqi, 2, masih dirawat di PICU. 

Kedua-dua mangsa dipercayai mengambil satu peket keropok mengandungi racun tikus yang digantungkan pada dawai besi di sekeliling pagar kebun berdekatan rumah mereka, dipercayai digunakan untuk memerangkap monyet.

  -- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan