EKONOMI

JS-SEZ SEBAGAI PLATFORM ALIH TUMPUAN PELABURAN KE VIETNAM KEPADA MALAYSIA - RAFIZI

11/07/2024 02:42 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) boleh menjadi platform untuk mengalihkan tumpuan pelaburan yang sebelum ini terarah ke Vietnam kepada Johor dan Singapura sekali gus meletakkan Malaysia sebagai pesaingnya, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata JS-SEZ sangat menarik bagi syarikat antarabangsa yang mencari jalan untuk menangani risiko geopolitik dan mendapatkan tapak di Asia Tenggara.

“JS-SEZ, tumpuan bukan semata-mata bagi syarikat dari Singapura malah juga potensi yang lebih besar iaitu syarikat dari seluruh dunia untuk datang ke Johor kerana mereka boleh memanfaatkan kedua-dua bahagian dunia. 

“Mereka boleh memanfaatkan Singapura yang sofistikated, selain sumber dan kelebihan dari segi kos di Johor,” katanya semasa sesi penerangan mengenai JS-SEZ di Dewan Rakyat pada Khamis.

Rafizi berkata tumpuan JS-SEZ adalah bagi sektor yang selari dengan dasar semasa kerajaan yang menekankan ciri nilai dan teknologi tinggi seperti yang ditetapkan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

JS-SEZ akan meliputi seluruh kawasan Iskandar Malaysia termasuk kawasan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Pengerang dengan keseluruhan keluasan 3,505 kilometer persegi.

JS-SEZ merangkumi kawasan di bawah enam pihak berkuasa tempatan di Johor iaitu Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Majlis Perbandaran Kulai, Majlis Perbandaran Pengerang dan sebahagian daripada Majlis Perbandaran Pontian. 

JS-SEZ kini di peringkat akhir rundingan, membuka laluan untuk perjanjian bersama yang dijangka ditandatangani pada September ini. 

Kerajaan Johor dan Persekutuan sedang bekerjasama untuk memastikan JS-SEZ mampu menarik pelabur global terutama melibatkan ekuiti persendirian dan modal teroka.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan