AM

MELAKA KENAL PASTI LOKASI BINA PARKIR BERTINGKAT DI BANDA HILIR

11/07/2024 02:47 PM

MELAKA, 11 Julai (Bernama) -- Kerajaan Melaka sedang mengenal pasti lokasi sesuai untuk membina parkir bertingkat jenis mekanikal di kawasan tumpuan pelancongan di Banda Hilir di sini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata pihaknya menerima cadangan daripada beberapa syarikat untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi merealisasikan hasrat itu.

“Kita telah mendapat beberapa cadangan daripada beberapa syarikat untuk membangunkan parkir bertingkat jenis mekanikal ini dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sedang menilai cadangan yang dikemukakan.

“Setakat ini saya lihat lokasi di depan bangunan Tabung Haji di Banda Kaba adalah sesuai untuk dibangunkan dengan parkir bertingkat itu,” katanya kepada pemberita di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini terdapat 5,128 petak tempat letak kereta di sekitar Banda Hilir dan taburannya turut dipamerkan menerusi aplikasi i-Trafik MBMB.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan