AM

PANTAS SELESAI UKUR 31,518 LOT TANAH ANAK NEGERI HINGGA 31 MEI

11/07/2024 04:10 PM

KOTA KINABALU, 10 Julai (Bernama) -- Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) berjaya menyelesaikan pengukuran 31,518 lot tanah Anak Negeri dengan keluasan 46,285.411 hektar hingga 31 Mei lepas, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata pengukuran itu melibatkan 145 buah kampung yang terletak di 22 buah daerah di seluruh Sabah.

"Sebanyak 250 geran tanah hasil pengukuran PANTAS di DUN Kadamaian sudah tersedia untuk diserahkan bila-bila masa. Program PANTAS di Kampung Tambatuon pula sedang dijalankan dan dijangka selesai sepenuhnya pada penghujung 2024.

"Sementara itu, kebenaran dari Pihak Berkuasa Negeri untuk melaksanakan Program PANTAS bagi Kg. Togudon di kawasan Moyog diterima pada 3 Julai lepas. Jabatan Tanah dan Ukur sedang dalam peringkat perancangan untuk memasuki kawasan berkenaan bagi memulakan pengukuran tanah," katanya.

Beliau berkata demikian ketikan menjawab soalan lisan Datuk Ewon Benedick (PH-Kadamaian) yang bertanya berapakah peruntukan disediakan untuk PANTAS dan adakah kampung dalam kawasan DUN Kadamaian serta DUN Moyog akan terlibat dalam program itu pada tahun ini dan tahun depan.

Nizam berkata bagi daerah Telupid, Jabatan Tanah dan Ukur selesai menjalankan pemeriksaan ke atas empat buah kampung yang didapati sesuai untuk dilaksanakan PANTAS dan kampung yang dimaksudkan ialah  Kampung Ansuan, Kampung Wonod, Kampung Buis dan Kampung Bouto. 

"Kebenaran melaksanakan Program PANTAS untuk keempat-empat kampung berkenaan diperoleh pada 28 Jun lepas. Pada masa kini, Jabatan Tanah dan Ukur sedang dalam peringkat perancangan untuk memasuki kampung itu untuk memulakan pengukuran tanah," katanya.

Sementara itu,  Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai berkata setakat ini terdapat 37 kluster inap desa di 17 buah daerah dengan bilangan sebanyak 459 peserta di seluruh Sabah.

"Bagi menjalin keterlibatan secara berterusan dengan pengusaha inap desa yang berdaftar, Kementerian sentiasa berkerjasama rapat dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) yang menjadi penyelaras program inap desa di Malaysia. 

"Pelbagai kursus ditawarkan oleh MOTAC untuk meningkatkan kemahiran kepada para pengusaha inap desa seperti pemasaran digital, asas bahasa, Mesra Malaysia, kelestarian alam dan lain-lain lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Dr Yusof Yacob (GRS-Sindumin) tentang berapa banyak jumlah inap desa terdapat di Sabah dan apakah inisiatif atau program dilaksanakan  kementerian untuk menjalin keterlibatan secara berterusan dengan pengusaha inap desa terutama mengelakkan 'scammer' mengambil kesempatan daripada industri berkenaan.

Joniston berkata MOTAC juga sentiasa mengadakan mesyuarat tahunan bersama penyelaras kluster inap desa bagi mendapatkan maklum balas serta mengenal pasti masalah dihadapi termasuk isu-isu semasa berkenaan scammer dan penipuan. 

"Bagi mengelakkan kes-kes sedemikian berleluasa, pihak MOTAC membangunkan laman sesawang iaitu Program Pengalaman Homestay Malaysia membolehkan senarai pengusaha inap desa diperoleh untuk dijadikan panduan," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan