AM

ORANG RAMAI DIJEMPUT MERIAHKAN PELANCARAN BULAN KEBANGSAAN DAN KIBAR JALUR GEMILANG 2024 AHAD DEPAN

11/07/2024 06:50 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Orang ramai dipelawa hadir memeriahkan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 yang akan berlangsung pada 21 Julai ini di Cyber Event Hall, Cyberjaya, Selangor.

Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi Mazlan Abd Mutalib berkata semua program dan aktiviti diadakan pada hari itu berkonsepkan karnival rakyat bagi menyuburkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat menuju Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024.

Beliau yang juga Setiausaha Jawatankuasa Kerja HKHM 2024 berkata sehingga kini program itu telah dilaksanakan sebanyak 11 kali di pelbagai lokasi di seluruh negara sejak 2013 dan tahun ini merupakan kali ke-12 pada penganjurannya.

“Antara pengisian utama program ini adalah Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada kira-kira pukul 2 petang.

“Selain itu, kita juga ada Karnival Kita MADANI X HKHM 2024, Permukiman Komuniti MADANI, Program Jualan RAHMAH dan Jualan Agro MADANI serta banyak lagi program menarik lain,” katanya dalam program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM hari ini.

Mazlan berkata Karnival Kita MADANI X HKHM adalah acara komuniti melibatkan pelbagai aktiviti antaranya Persembahan Patriotik, Aktiviti Interaktif, Aktiviti Demonstrasi, Aktiviti Keusahawanan dan Perniagaan serta Perkhidmatan Untuk Anda dan dengan jangkaan lebih 5,000 pengunjung.

Beliau berkata selain itu Permukiman Komuniti MADANI yang merupakan program bicarawara secara santai dalam memperkasakan kefahaman mengenai dasar, inisiatif dan hala tuju kerajaan menghimpunkan ahli Komuniti MADANI di Semenanjung turut akan ditampilkan, dengan artis Datuk AC Mizal sebagai hos.

Program Jualan Rahmah (PJR) anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pula menawarkan penjimatan harga barangan keperluan harian, antara 10 hingga 30 peratus lebih murah daripada harga biasa pasaran setempat.

Mazlan berkata Jualan Agro MADANI pula dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui tiga agensi pelaksana iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Mengenai inisiatif Satu Rumah Satu Jalur Gemilang (1R1JG), Mazlan berkata program itu diadakan bagi menyemarakkan semangat sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini yang menggalakkan rakyat mengibarkan Jalur Gemilang. 

Pada 5 Jun lepas, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengumumkan “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka” dipilih sebagai tema sambutan HKHM 2024 sebagai perlambangan kesepaduan secara holistik negara maju dan progresif menaungi rakyat yang berbilang kaum, bersatu hati serta teguh jati dirinya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan