EKONOMI

PAMERAN PENERBANGAN SELANGOR 2024 TARIK 110 PEMPAMER

11/07/2024 06:46 PM

SHAH ALAM, 11 Julai (Bernama) -- Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2024 menarik 110 pempamer bagi edisi keempatnya yang akan diadakan dari 12 hingga 14 September ini di Pusat Penerbangan Serantau (RAC) Skypark, Subang.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri, Ng Sze Han berkata SAS 2024 akan menampilkan 15 syarikat dari tujuh negara iaitu Amerika Syarikat (AS) , United Kingdom, China, Singapura, Jerman, Perancis dan Republik Czech.

“Acara kali ini turut mengetengahkan Cirrus Aircraft, Textron Aviation, Dassault Aviation, Bombardier, UMW Aerospace dan banyak lagi.

“Selain itu, kami akan mempunyai paparan statik yang datang dari pasukan AS, Perancis, Singapura dan Malaysia serta pelbagai jenis pesawat seperti pesawat Diamond, Falcon 8x, Caravan, Piaggio Avanti dan lain-lain,” katanya semasa sidang media pada majis pelancaran awal SAS 2024 di sini, pada Khamis.

Beliau berkata penganjuran tahun ini juga akan membawa 40 peserta industri aeroangkasa dan penerbangan semasa pameran kerjaya yang diharap dapat menghubungkan bakat berpotensi dengan peserta industri.

Ng berkata pada 12 Sept, acara itu juga akan memberi penghormatan kepada wanita dalam industri penerbangan melalui Anugerah Wanita dalam Penerbangan dengan kerjasama Women in Aviation Asia (WiAA) dan Women@MAG (Malaysia Aviation Group).

“Wanita membentuk kurang daripada 20 peratus tenaga kerja penerbangan di seluruh dunia, jadi ini adalah cara kami meraikan pencapaian luar biasa mereka dalam industri aeroangkasa dan penerbangan Malaysia.

“Pengunjung juga boleh menyaksikan pertunjukan udara oleh juruterbang aerobatik pertama Malaysia yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Kapten John Sham atau lebih dikenali dengan nama panggilan Scratchman,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan