EKONOMI

PENINGKATAN PENARAFAN KREDIT DARIPADA AGENSI GLOBAL AKAN TINGKATKAN TARIKAN MALAYSIA KEPADA LEBIH RAMAI PELABUR - AHLI EKONOMI

11/07/2024 09:22 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani & Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Peningkatan penarafan kredit rasmi daripada agensi-agensi yang diiktiraf di peringkat global akan menjadikan bon Malaysia lebih menarik kepada pelbagai pelabur, menurut SPI Asset Management.

Pengarah Urusannya, Stephen Innes berkata dengan JP Morgan, sebuah institusi kewangan global terkemuka, menaikkan penarafannya terhadap Malaysia kepada “neutral” daripada “underweight” selepas hampir enam tahun, impak positif telah dirasai dalam komuniti pelaburan pasaran bon global.

“Langkah ini juga boleh menarik perhatian dana ekuiti tempatan berikutan kenyataan ini membuka mata pelabur ekuiti antarabangsa. 

“Petunjuk awal menunjukkan aliran pelaburan mula kembali, walaupun secara berperingkat,” katanya kepada Bernama. 

Mengenai impak terhadap ringgit, Innes berkata ini akan membawa kepada aliran pelaburan sebenar berbanding yang bersifat spekulatif.  

Katanya ini merupakan pemacu utama mata wang tempatan berdasarkan ringgit tidak boleh diniagakan di pasaran terbuka.

Justeru, katanya kenyataan yang positif dan peningkatan penarafan daripada agensi penarafan dapat menjelaskan sebahagian sebab ringgit mencatatkan kenaikan hari ini.

Bagaimanapun, Innes berkata dari segi perspektif pasaran mata wang, Rizab Persekutuan (Fed) AS mempunyai pengaruh yang besar.

“Sehingga pelabur yakin bahawa Fed akan menurunkan kadar faedah, kenaikan nilai mata wang di Asia, terutamanya dalam kalangan yang menjana pulangan rendah, dijangka akan menghadapi halangan.

“Oleh itu, walaupun Malaysia menikmati tempoh yang baik dengan pasaran bonnya mendapat sokongan dan ringgit menunjukkan pengukuhan, naratif utama masih ditentukan oleh langkah Fed yang seterusnya,” katanya.

 

Pelabur asing menilai semula pegangan portfolio mereka di Malaysia

 

Sementara itu, ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata keyakinan daripada JP Morgan itu menunjukkan pelabur asing menilai semula pegangan portfolio mereka di Malaysia selepas mengambil kira beberapa perubahan dasar dan inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan kapasiti produktif negara.

Beliau berkata langkah-langkah tidak popular seperti rasionalisasi subsidi bahan api dan elektrik, sasaran ke arah ekonomi berasaskan pasaran, kenaikan kadar cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus dan pengenalan cukai barangan bernilai rendah membayangkan kerajaan sekarang komited untuk melaksanakan pembaharuan ekonomi.

“Impak positif daripada langkah-langkah ini akan dirasai dalam tempoh jangka sederhana hingga jangka panjang kerana kerajaan perlu memperuntukkan semula simpanan dan pendapatan tambahan yang dijana daripada inisiatif kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur.

“Semua ini akan membantu meningkatkan potensi pertumbuhan negara yang boleh diterjemahkan kepada prospek pendapatan yang lebih baik dalam kalangan syarikat tersenarai,” kata Mohd Afzanizam.

Dari sudut penilaian ekuiti, pelbagai nisbah harga kepada pendapatan (PE) FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada masa ini berada pada 15.3 kali, jauh di bawah daripada purata jangka panjang sebanyak 17.1 kali, katanya

“Sekiranya nisbah PE kembali ke tahap puratanya, saya tidak akan terkejut jika FBM KLCI melepasi paras 1,700 mata.

“Apatah lagi ringgit ketika ini bernilai rendah, seperti yang ditunjukkan oleh bank pusat. Dalam erti kata itu, terdapat insentif  jelas dalam kalangan pelabur portfolio asing untuk menilai semula pegangan portfolio sedia ada mereka di Malaysia,” katanya.

Pada masa ini, tahap pemilikan asing dalam firma yang tersenarai di Bursa Malaysia adalah sekitar 19 peratus, katanya.

Paras tertinggi adalah sebanyak 25.8 peratus pada Mei 2013.

“Sekiranya pemilikan asing meningkat daripada paras sekarang, kita bakal melihat paras FBM KLCI akan naik lebih tinggi,” kata Mohd Afzanizam.

Pada Rabu, Ketua JP Morgan bagi Asia Pasifik (kecuali Jepun/China) Rajiv Batra JP Morgan dalam wawancaranya dengan stesen media CNBC berkata firma itu telah menyemak naik penarafan terhadap Malaysia daripada ‘underweight’ kepada ‘neutral’ selepas hampir enam tahun dan menyifatkan prestasi itu didorong oleh pembaharuan dasar-dasar negara, pelaburan pusat data serta pembangunan infrastruktur.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan