EKONOMI

PEMBAYARAN BERSAMA MHIT PILIHAN BAGI PREMIUM RENDAH, TIDAK JEJAS PELANGGAN SEDIA ADA - LIAM

12/07/2024 01:01 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Ciri pembayaran bersama baharu untuk produk insurans, takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) adalah antara pilihan yang ditawarkan bagi pelanggan baharu dengan premium rendah serta fleksibel mengikut keperluan kewangan masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) Mark O'Dell berkata pilihan pembayaran bersama juga bukan wajib dan tidak menjejaskan pengguna sedia ada yang pembeli pelan perlindungan penuh MHIT.

“Pembayaran bersama membolehkan pengendali insurans dan takaful menawarkan premium lebih rendah yang membolehkan pengguna berjimat sebanyak 19 peratus hingga 68 peratus berikutan pemegang polisi serta sijil berkongsi kos perkhidmatan perubatan.

“Namun, pelanggan masih boleh membuat keputusan untuk membeli polisi dengan bayaran bersama atau sebaliknya pada premium lebih tinggi," katanya kepada Bernama.

Bank Negara Malaysia (BNM) telah menetapkan berkuat kuasa pada 1 Sept, 2024, semua penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) dikehendaki menawarkan pilihan kepada pengguna bagi membeli produk MHIT bercirikan pembayaran bersama.

Sehubungan itu, ITO dikehendaki menunjukkan Helaian Pendedahan Produk dengan sekurang-kurangnya satu pilihan yang menawarkan ciri berkenaan kepada pelanggan mulai 1 Jan, 2025.

Menjelaskan selanjutnya, O'Dell menekankan bahawa ciri pembayaran bersama bukan perkara baharu dalam pasaran Malaysia, malah beberapa ITO di negara ini telah menyediakan pilihan itu dalam produk masing-masing.

Pada masa sama, katanya, peningkatan penggunaan produk pembayaran bersama MHIT dijangka membantu dari segi membendung penggunaan perkhidmatan kesihatan secara berlebihan serta mengawal inflasi kos perubatan yang meningkat sebanyak 36.3 peratus secara kumulatif bagi tempoh 2020 hingga 2022.

Laporan sebelum ini menyatakan inflasi kos perubatan di Malaysia mencecah 12.6 peratus pada 2023 yang secara signifikan lebih tinggi daripada purata global pada 5.6 peratus dan antara yang tertinggi di rantau Asia Pasifik.

 

Ciri Pembayaran Bersama

 

Pelaksanaan ciri pembayaran bersama ini membabitkan perkongsian kos antara pemegang polisi atau sijil dan ITO, dengan kedua-dua pihak berkongsi kos perkhidmatan perubatan menerusi insurans bersama atau deduktibel.

Bagi insurans bersama, pengguna perlu membayar peratusan tertentu daripada perbelanjaan perubatan manakala pelan insurans/takaful menampung baki amaun. Jumlah minimum ialah lima peratus daripada jumlah bil hospital.

Bagi deduktibel -- orang yang diinsuranskan perlu membayar amaun minimum RM500 daripada jumlah bil hospital.

O'Dell berkata terdapat juga produk MHIT yang merangkumi insurans bersama dan deduktibel untuk pengguna terutama individu atau keluarga yang mempunyai bajet yang terhad.

Beliau berkata bagaimanapun, ciri bagi bayaran bersama itu tidak akan terpakai dalam beberapa keadaan seperti rawatan kecemasan (termasuk kes kemalangan), rawatan pesakit luar untuk rawatan susulan akibat penyakit kritikal dan rawatan di kemudahan penjagaan kesihatan kerajaan.

ITO juga mungkin memberi pertimbangan yang sewajarnya kepada sebarang kesulitan kewangan atau keadaan luar biasa yang dihadapi pemegang polisi/peserta takaful dan boleh menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan pembayaran bersama dalam keadaan sedemikian.

 

Prospek

 

O'Dell berkata kadar pembelian insurans hayat, takaful, dan insurans am dalam separuh pertama 2024 kekal kukuh susulan permintaan yang tinggi terhadap produk tersebut dalam keadaan penetapan semula harga untuk pelan perlindungan perubatan.

Beliau menjangkakan pembelian pembayaran bersama produk MHIT meningkat secara beransur-ansur selepas bank pusat mengarahkan semua ITO untuk menyertakan ciri-ciri perkongsian kos sebagai pilihan untuk pengguna, yang lebih mampan bagi jangka masa panjang.

“Apabila ada ciri-ciri ini, pelanggan akan didorong untuk berperanan lebih aktif dalam menggunakan perkhidmatan kesihatan, membantu menggalakkan penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan dengan lebih bertanggungjawab, mengurangkan tuntutan perubatan yang tidak sah, dan memastikan insurans dan takaful perubatan kekal ditawarkan pada harga berpatutan untuk rakyat Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan