AM

PM ANWAR "DISERBU" MURID SEKOLAH KETIKA MAKAN TENGAH HARI

12/07/2024 03:35 PM

PUTRAJAYA, 12 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim "diserbu" sekumpulan murid sekolah ketika sedang menikmati makan tengah hari di gerai An-Najah Presint 9 di sini hari ini, sebelum menunaikan solat Jumaat.

Ketibaan Anwar di gerai itu kira-kira pukul 12.45 tengah hari disambut orang ramai terutama pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 9 (2) yang terletak berhampiran gerai berkenaan.

Kanak-kanak sekolah yang turut berada di gerai itu berpusu-pusu bersalaman dengan Perdana Menteri yang mengenakan baju Melayu berwarna biru muda.

Anwar meluangkan masa kira-kira 30 minit menikmati pelbagai juadah makan tengah hari yang turut disertai Setiausaha Koperasi An-Najah, Zainal Mohd Yusoh.

Perdana Menteri kemudian menunaikan solat Jumaat di Surau An-Najah yang terletak kira-kira 60 meter dari gerai itu bersama hampir 1,000 jemaah.

Solat Jumaat dipimpin oleh imam surau berkenaan Hazim Malim yang turut menyampaikan khutbah bertajuk "Perihal Mizan (Timbangan Akhirat)".

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan