EKONOMI

BANK PERLU KONSISTEN IKUT SOP KENDALI ADUAN WANG PELANGGAN DIKELUARKAN SECARA TIDAK SAH

12/07/2024 02:41 PM

MELAKA, 12 Julai (Bernama) -- Institusi perbankan dan kewangan di negara ini diingatkan agar konsisten mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam mengendalikan aduan wang pelanggan yang dikeluarkan secara tidak sah, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying. 

Beliau berkata kementeriannya menerima beberapa aduan berhubung pegawai bank yang tidak mengambil tindakan sewajarnya ketika menerima aduan berkaitan insiden berkenaan oleh pemegang akaun bank. 

"Memang ada beberapa kes (dalam pengetahuan Kementerian Kewangan), tetapi tidak banyak dan masih terkawal.  Jika ada kes yang spesifik, kita akan siasat mengikut perbezaan kes," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Trace and Recovery Operation (TRO) 2.0 (Penyata Tanpa Bayaran) Siri 2/2024 di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin@Mohd Zainuddin. 

Mengulas lanjut, Lim berkata dalam masa yang sama pelaksanaan SOP tersebut juga akan diperketatkan memandangkan masih terdapat bank yang enggan mengikutinya. 

"Jadi kita beri peringatan kerana SOP dan pengumuman seumpama ini bukan baharu. Aduan oleh pelanggan mengenai duitnya yang dikeluarkan secara tidak sah, perlu disiasat bank dengan sewajarnya. Jika dapat dibuktikan itu adalah bukan kecuaian pelanggan serta semua langkah dan prosedur telah diikuti, jadi bank perlu bertanggungjawab. 

"Bagi pemegang akaun bank pula, kita nasihatkan mereka agar sering menyemak akaun bank, dan jika perkara sebegini masih berlaku dan mereka tidak berpuas hati dengan hasil siasatan bank, pelanggan boleh terus melaporkan kepada Ombudsman Perkhidmatan Kewangan (OFS) atau terus buat aduan ke Bank Negara," katanya.

Mengenai majlis itu, Lim berkata ia adalah simbolik kepada operasi khas bersepadu yang akan dilaksanakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di tujuh negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak bermula 14 hingga 19 Julai ini. 

Objektif utama TRO 2.0 (Penyata Tanpa Bayaran) ini adalah untuk meningkatkan pungutan hasil dan tahap pematuhan pandaftar terhadap Akta Cukai Jualan 2018, Akta Cukai Perkhidmatan 2018 dan Akta Cukai Pelancongan 2017, katanya.

Beliau berkata setakat awal tahun ini, JKDM telah mengutip RM30 bilion daripada cukai tidak langsung dan percaya agensi itu mampu mencapai unjuran kutipan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan tahun ini sebanyak RM50 bilion.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan