EKONOMI

KERAJAAN SEDIA RUNDING KADAR PEMBERIAN KHAS BAHARU KEPADA SABAH

16/07/2024 10:26 AM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Kerajaan melalui platform Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKMTPMA63) komited merundingkan kadar Pemberian Khas baharu kepada Sabah selaras dengan Perkara 112D Perlembangan Persekutuan, kata Kementerian Kewangan.

Kementerian itu berkata rundingan itu akan mengambil kira kos perkhidmatan negeri dan kemampuan kewangan semasa kerajaan Persekutuan.

Selaras dengan peruntukan Perkara 112D, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah bersama menyemak dan berunding bagi mengkaji semula kadar tersebut.

Hasilnya, satu kadar baharu telah dipersetujui pada 2022 iaitu sebanyak RM125.6 juta yang dikuatkuasakan melalui pewartaan Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas Di Bawah Perkara 112D) (Negeri Sabah) 2022 [P.U.(A) 119/2022] bertarikh 20 April 2022 bagi tempoh lima tahun.

Pewartaan P.U.(A) 119/2022 telah menggantikan kadar pemberian lama yang berjumlah RM26.7 juta yang telah diwartakan pada 18 September, 1970 sepertimana diperuntukkan dalam Perentah Pemberian Khas Sabah (Ulangkaji Pertama) 1970 [P.U.(A) 328/1970].

Kementerian Kewangan berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Isnin bagi menjawab soalan Datuk Matbali Musah (GRS-Sipitang) mengenai peningkatan kadar pemberian khas bagi Sabah.

Kementerian Kewangan berkata kadar amaun pemberian khas baharu untuk Sabah dinaikkan kepada RM300 juta bagi 2023 melalui pewartaan Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas Di Bawah Perkara 112D) (Negeri Sabah) 2023 [P.U.(A) 364/2024] pada 24 November 2023.

“Pembayaran keseluruhan pemberian khas pada 2023 telah disempurnakan melalui penyaluran kepada Sabah pada 28 Nov 2023,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan