AM

APMM SELANGOR TAHAN BOT, EMPAT KRU WARGA ASING LANGGAR SYARAT SAH LESEN

12/07/2024 04:20 PM

SHAH ALAM, 12 Julai (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C bersama empat kru warga asing kerana melanggar syarat sah lesen di sekitar perairan Sekinchan, Selangor, semalam.

Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata bot bersama kru warga asing itu ditahan ketika mereka sedang melakukan aktiviti menangkap ikan kira-kira 15 batu nautika dari daratan.

Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati, bot berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong warga tempatan berusia 57 tahun bersama empat kru warga asing berusia 26 hingga 36 tahun. 

"Kesemua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta permit kerja atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia ketika diminta.

"Bot bersama kru yang ditahan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah, Klang sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Abdul Muhaimin berkata kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu melakukan aktiviti penangkapan ikan bawah 15 batu nautika dan menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta Akta  Imigresen 1959/63 kerana kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. 

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan