AM

GUARDIAN ANJUR KEMPEN 'LOVE IS IN THE HAIR' BERMULA 10 HINGGA 28 JULAI

12/07/2024 04:45 PM

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Guardian Malaysia mendedikasikan bulan Julai untuk mengadakan kempen ‘Love is in the Hair’ di beberapa pusat beli belah di seluruh Lembah Klang sebagai menghargai ‘mahkota’ setiap insan.  

Pengarah Pemasaran Guardian Malaysia Anna Ng berkata kempen yang akan diadakan bermula 10 hingga 28 Julai itu dibarisi pelbagai jenama terpilih merangkumi kategori antikeguguran rambut, penjagaan kulit kepala serta warna dan kecantikan rambut.

“Ia pengalaman sensori dan para tetamu boleh bertanya mengenai masalah utama rambut mereka seperti rambut gugur dan penjagaan kulit kepala, cara memilih warna rambut yang betul serta cara mengekalkan rambut sihat kepada pakar penjagaan rambut di acara berkenaan.

“Semua tetamu berpeluang mencuba pelbagai jenis penjagaan rambut dipilih oleh Guardian yang mengandungi bahan seperti hyaluron dan kafein melalui sesi cucian, rawatan dan dandanan rambut,” katanya menerusi kenyataan, baru-baru ini. 

Anna Ng berkata pelbagai aktiviti menarik akan berlangsung di Suria KLCC dan Mid Valley Megamall dengan acara kemuncak ‘hair playground’ yang dijadualkan bermula pada 23 hingga 28 Julai ini di IOI City Mall, Putrajaya.

“Acara ‘hair playground’ bakal menjadi acara berskala besar dengan pelbagai aktiviti hebat seperti pemeriksaan kulit kepala, khidmat nasihat, pertandingan dandanan dan warna rambut serta pertunjukan fesyen rambut. Ia acara kemuncak kempen selama sebulan Love is in the Hair kami.

“Jenama yang mengambil bahagian dalam kempen ini ialah Aussie, Clear, Garnier, Head&Shoulders, Kundal, L’oreal, Liese, Revlon, Ryo, Sunsilk, mise-en-scene dan 50 Megumi,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan