AM

BULI DI MRSM: SIASAT SECARA MENYELURUH SEBELUM LAKSANA HUKUMAN

13/07/2024 03:57 PM

TAIPING, 13 Julai (Bernama) -- Siasatan secara menyeluruh perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum tindakan tegas diambil terhadap mereka yang terlibat dalam kes buli di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) baru-baru ini.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ini bagi memastikan hukuman itu bersifat adil dan saksama kepada semua pihak yang terlibat dalam isu terbabit.

“Paling penting kita nak pastikan tindakan tegas kepada sesiapa yang benar-benar bersalah dan kita juga nak pastikan mangsa (buli) diberikan perlindungan supaya dapat terus hidup dalam keadaan tenteram.

“Dalam masa yang sama, saya tak mahu sebarang isu yang terkait dengan masalah disipilin, terutama membabitkan hal buli, disorok dan cuba ditutup oleh sesiapa,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Taiping di Hotel Taiping Perdana di sini hari ini.

Semalam, Asyraf dalam satu kenyataan menegaskan sebarang perbuatan buli, sama ada berbentuk fizikal atau mental tidak boleh dikompromi berikutan perlakuan itu satu bentuk jenayah selain meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kes buli di MRSM supaya terus memaklumkan kepadanya.

Ia susulan satu tangkap layar dikongsi pakar kewangan Islam Dr Zaharuddin Abd Rahman menerusi laman Facebook meminta Asyraf Wajdi mengambil tindakan terhadap insiden diadukan seorang ibu yang mengatakan anak lelakinya, pelajar tingkatan satu yang menuntut di sebuah MRSM, dibuli pelajar senior.

Asyraf Wajdi berkata hukuman yang dikenakan kepada mana-mana pesalah juga seharusnya dijadikan iktibar supaya ia tidak diikuti oleh pelajar MRSM lain.

Selain itu, beliau berkata buat masa ini penyusunan beberapa program bersifat proaktif sedang giat dilaksanakan bertujuan meningkatkan nilai hidup bermasyarakat serta adab dalam kalangan pelajar MRSM.

“Kita tak mahu lahirkan robot-robot bernyawa yang cerdik dan boleh buat apa sahaja yang diperlukan tetapi tiada roh dan tiada jiwa.

“Sebab itu pembentukan watak dan akal ini mesti disekalikan,” katanya.

 -- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan