AM

KEPUTUSAN SPEAKER DEWAN RAKYAT DIBUAT SECARA TELUS, IKUT PERLEMBAGAAN - AHMAD ZAHID

13/07/2024 05:04 PM

KUALA NERUS, 13 Julai (Bernama) -- Keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengekalkan kedudukan enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibuat secara telus dan mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tohmahan bahawa keputusan itu dibuat kerana Kerajaan Perpaduan takut berdepan kekalahan jika pilihan raya kecil dijalankan adalah tidak benar kerana parti berkenaan sentiasa bersedia untuk bertanding di kawasan itu.

“Keenam-enam kerusi itu adalah kerusi UMNO dan kalau kosong pun, UMNO akan bertanding… dalam politik mana boleh takut.

“Kita serahkan kepada mana-mana pihak untuk membawa isu ini ke mahkamah tetapi kuasa Speaker adalah jelas dan perkara itu termaktub dalam (Perlembagaan) seperti disebut oleh beliau,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus di sini hari ini.

Baru-baru ini Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan telah menerima surat daripada Johari pada 9 Julai yang menyatakan tidak berlaku kekosongan di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan untuk enam kerusi Parlimen bekas ahli parti itu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri. 

Ahli Parlimen yang terkait dengan isu itu ialah terbabit adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang). 

 -- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan