AM

JPSM TANAM 500 ANAK POKOK BAKAU DI HUTAN SIMPAN SUNGAI MERBOK

13/07/2024 06:30 PM

SUNGAI PETANI, 13 Julai (Bernama) -- Sebanyak 500 anak pokok bakau minyak spesies Rhizophora apiculata berjaya ditanam menerusi program Alam Be-Leaf Mangrove Tree Planting di kompartmen 11 kawasan Hutan Simpan Sungai Merbok dekat sini hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan (Dasar dan Perancangan) Datuk Zahari Ibrahim berkata penganjuran program berkenaan adalah bersempena dengan Program Penghijauan Malaysia-Kempen Penanaman 100 juta pokok.

"Hari ini kita menanam 500 anak pokok bakau dengan melibatkan 123 peserta termasuk sukarelawan belia daripada Sukarelawan Anak Malaysia (SATRIA) di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

"Program hari ini merupakan yang kedua bagi tahun ini dan diharap dapat memberi pendedahan serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan generasi muda tentang kepentingan memelihara hutan dan alam sekitar," katanya kepada Bernama selepas merasmikan program berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata kempen yang menyasarkan penanaman 100 juta pokok di seluruh negara itu diadakan bermula 2021 hingga tahun hadapan dan setakat hari ini, sebanyak 91.1 juta pokok merangkumi lebih 1,000 spesies telah ditanam di seluruh negara.

"Pemilihan kawasan hutan paya laut bagi program kali ini bertepatan dengan sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 yang bakal diadakan 26 Julai ini.

"Hal ini kerana hutan paya laut memainkan peranan penting sebagai lapisan perlindungan semula jadi untuk mencegah kemusnahan disebabkan hakisan tanah, pukulan ombak dan tiupan angin kencang, pemuliharaan habitat dan kepelbagaian biologi serta kawasan zon penampan yang kukuh dan stabil," katanya.

Zahari berkata aktiviti itu diharap dapat memulihkan semula sebahagian daripada kawasan Sungai Merbok dengan tanaman bakau dan berharap program itu akan memberi impak besar kepada kawasan ekosistem hutan Sungai Merbok serta alam sekitar di Sungai Petani.

"Tanggungjawab memelihara dan memulihara khazanah alam semula jadi yang terdapat di sekeliling kita pada hari ini merupakan tanggungjawab bersama.

"Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) akan terus memberikan sokongan berterusan dan komitmen menyeluruh kepada semua pihak yang mempunyai matlamat untuk menerapkan kesedaran serta semangat cintakan khazanah sumber asli negara dan melestarikan alam sekitar," katanya.

Seorang sukarelawan Zainab Desa, 39, berkata hari ini merupakan kali kedua dia berpeluang menyertai program penanaman bakau.

Menurut Zainab dia berjaya menanam 10 anak pokok bakau pada program berkenaan yang turut disertai 77 rakan sekerjanya dari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan 45 sukarelawan SATRIA.

“Saya dapat lalui pengalaman mencabar sebelum tiba di lokasi penanaman bakau iaitu menaiki bot beramai-ramai dan berjalan meredah laluan berlumpur,” katanya.

Sukarelawan SATRIA  S.Prabakaram, 30, yang pertama kali menyertai aktiviti seumpama itu berkata dia teruja apabila berpeluang melihat lebih dekat kawasan paya bakau di situ.

"Saya dapat menanam tujuh pokok bakau, rasa seronok sangat… kalau ada lagi peluang menjadi sukarelawan program seperti ini, saya akan sertai lagi," katanya.

Program ALAM Be-Leaf Mangrove Planting di Hutan Simpan Sungai Merbok dianjurkan bersama Amanah Lestari Alam (ALAM) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia (NRES), JPSM, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNKd) serta Bank Pembangunan Malaysia Berhad.

Turut hadir, Ketua Pegawai Sumber Manusia Bank Pembangunan Malaysia Berhad Sainursalwa Sani, Pengarah JPNKd Muhamad Abdullah serta Timbalan Pengarah (Rakan Muda) Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah Salwa Senawi.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan