AM

JUALAN AGRO MADANI: RM20.7 JUTA NILAI PENJIMATAN KEPADA PELANGGAN

13/07/2024 06:41 PM

KANGAR, 13 Julai (Bernama) -- Sebanyak RM20.7 juta nilai penjimatan kepada pelanggan direkodkan sepanjang penganjuran Jualan Agro MADANI yang dilaksanakan melalui 4,110 sesi jualan di seluruh negara setakat 30 Jun lepas.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Badrul Hisham Mohd berkata dalam tempoh itu, penganjuran jualan tersebut telah melibatkan sejumlah 46,838 usahawan tempatan.

"Melalui Jualan Agro MADANI ini, ia dapat menyumbang kepada peningkatan kebolehdapatan dan ketersediaan bagi memudahkan pengguna mendapatkan bekalan produk segar pada harga yang berpatutan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan KPKM sempena majlis perasmian Karnival Jualan Agro MADANI Mega Peringkat Negeri Perlis yang disempurnakan Badrul Hisham bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri Razali Saad di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis Mohd Anzara Azizan.

Kenyataan itu turut memaklumkan FAMA menyasarkan nilai jualan sebanyak RM750,000 dan kehadiran kira-kira 30,000 pengunjung bagi tiga hari penganjuran karnival jualan tersebut yang bermula semalam. 

Turut ditawarkan pada karnival itu harga istimewa bagi jualan set Kombo MADANI daripada harga asal RM16 kepada harga promosi RM10 yang mengandungi beberapa barangan keperluan.

Sementara itu, pengunjung karnival dari Bintong di sini, Ahmad Shafie, 45, berkata penganjuran karnival jualan tersebut amat bertepatan bagi memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan barangan keperluan pada harga rendah sekali gus meringankan perbelanjaan mereka. 

"Alhamdulillah, dengan adanya karnival seperti ini saya dapat jimatkan perbelanjaan. Hari ini saya beli set Kombo RM10 yang ada ayam, sayur dan bawang, jika di kedai biasa tak dapat harga seperti ini," katanya ketika ditemui Bernama di karnival jualan itu hari ini.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan