AM

PELBAGAI AKTIVITI SEMPENA KARNIVAL BULAN KEMERDEKAAN DAN KIBAR JALUR GEMILANG AHAD INI

15/07/2024 07:42 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Pelbagai aktiviti disediakan kepada pengunjung karnival sempena Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 yang dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Cyber Event Hall Cyberjaya, Ahad ini.

Menurut laman maklumat hibur acara itu menerusi Facebook Merdeka360, karnival sehari bermula 9 pagi hingga 4.30 petang itu menyajikan pelbagai aktiviti antaranya pameran kemerdekaan, Komuniti MADANI X NADI, Kuiz Roda Merdeka, RIUH X HKHM, aktiviti interaktif kenegaraan serta persembahan patriotik.

Orang ramai juga boleh melakukan semakan dan pembayaran cukai serta kompaun Majlis Perbandaran Sepang (MPS), kaunter pengurangan saman Polis Diraja Malaysia (PDRM), gantian kad pengenalan, pembaharuan lesen memandu serta mendapatkan Skim Pinjaman Komputer Riba dan Desktop.

Turut menghiasi karnival itu ialah Jualan Ehsan Rahmah MADANI, jualan kombo Agro MADANI serta jualan trak makanan.

Sebarang maklumat lanjut, layari www.merdeka360.my

Pada 5 Jun lepas, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengumumkan “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka” dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024 sebagai perlambangan kesepaduan secara holistik negara maju dan progresif menaungi rakyat yang berbilang kaum, bersatu hati serta teguh jati dirinya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan