EKONOMI

USAHA TANGANI KERENAH BIROKRASI DORONG PENINGKATAN STESEN PENGECAS EV - TENGKU ZAFRUL

13/07/2024 07:38 PM

IPOH, 13 Julai (Bernama) -- Bilangan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara meningkat sebanyak 12.5 peratus setakat 25 Jun lepas berbanding tempoh suku pertama 2024, didorong oleh usaha kerajaan mengurangkan kerenah birokrasi dalam proses pemasangan stesen berkenaan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata proses kelulusan sebelum ini melibatkan banyak agensi dan kementerian, termasuk Suruhanjaya Tenaga, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta bomba.

“Peningkatan (bilangan stesen) dalam tempoh dua hingga tiga bulan ini banyak. Pada mulanya ada cabaran dari segi kelulusan, namun mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof telah berjaya mengurangkan kerenah birokrasi.

“(Apabila) ada ada pusat sehenti, alhamdulillah usaha itu sudah dipercepatkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ipoh Barat bagi 2024 di sini, hari ini.

Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 yang diumumkan kerajaan pada 2020 menggariskan sasaran 10,000 pengecas EV menjelang 2025 iaitu 9,000 unit pengecas AC (arus ulang-alik) dan 1,000 unit pengecas DC.

Pada 4 Julai lepas, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan sebanyak 2,585 unit pengecas EV telah dipasang di seluruh negara setakat 25 Jun lepas, kecuali Wilayah Persekutuan Labuan.

Mengulas selanjutnya, Tengku Zafrul berkata walaupun mengekalkan sasaran 10,000 stesen pengecas EV, namun kerajaan turut mempertingkat sasaran stesen unit Pengecas Pantas Arus Terus (DC) dari 1,000 kepada 1,500 pada tahun ini.

Beliau juga optimis sasaran 10,000 stesen pengecas EV itu mampu dicapai tetapi pada masa sama tetapi unit pengecas DC perlu diperbanyakkan berikutan permintaan pengguna.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan