AM

FELDA ROBOTIC CHALLENGE 2024 ASAH KEMAHIRAN KREATIVITI GENERASI MUDA FELDA

13/07/2024 08:46 PM

SERDANG, 13 Julai (Bernama) -- Pertandingan Felda Robotic Challenge 2024 (FRC) berupaya mengasah kemahiran kreativiti dan teknikal generasi muda Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), selaras hasrat kerajaan memperkasakan semua sektor dengan kemahiran digital agar tetap berdaya saing dan kompetitif.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pertandingan itu adalah sebahagian daripada inisiatif FELDA Digital Maker Hub - Coding and Robotic dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang mendukung pendidikan digital dalam kalangan murid dan guru.

"Impak daripada program ini sangat positif khususnya dalam memperluas akses pendidikan digital sekali gus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran murid-murid kita, sesuai dengan keperluan zaman.

"Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus bekerjasama dengan FELDA dan pihak-pihak lain untuk memperkukuhkan lagi sistem pendidikan negara. Usaha untuk meningkatkan literasi teknologi, memperluas akses pendidikan digital, dan menyediakan lebih banyak peluang pembelajaran akan terus diperhebat," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan ketika merasmikan FRC 2024 dan penyampaian Anugerah Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di sini hari ini.

Fadhlina berkata kejayaan pertandingan itu yang disertai 80 sekolah dari kawasan FELDA termasuk lima sekolah menengah dan 75 sekolah rendah dari seluruh negara membuktikan generasi muda FELDA memiliki bakat dan potensi besar dalam bidang robotik.

Beliau juga berharap FELDA, MDEC dan agensi yang terlibat dalam menjayakan program itu dapat berganding bahu memastikan kecemerlangan dan kelestarian pendidikan berteraskan digital diberikan pendedahan lebih banyak kepada murid khususnya di sekolah di kawasan FELDA. 

Terdahulu, Azman turut menyampaikan anugerah kepada 10 sekolah terbaik di kawasan FELDA yang mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan SPM 2023 dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Pusat, Wilayah Jengka menerima Anugerah Pencapaian Sekolah Terbaik.

Beliau turut menyampaikan hadiah berbentuk cek cura berjumlah RM1,000 dan sijil penghargaan kepada 29 pelajar di kawasan FELDA yang memperoleh keputusan cemerlang SPM 2023 selain menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi FRC. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan