AM

SABAH TERUS PERKASA INDUSTRI HALAL DALAM KALANGAN PENGUSAHA IKS - HAJIJI

14/07/2024 03:10 PM

KOTA KINABALU, 14 Julai (Bernama) -- Sabah akan terus memperkasa industri halal membabitkan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negeri ini menerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Halal Hab, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata usaha itu seiring dengan komitmen kerajaan Sabah untuk merancakkan lagi industri halal secara menyeluruh memandangkan konsep halal berkait rapat dengan produk berkualiti tinggi dari aspek kebersihan dan pematuhan terhadap syariah agama.

Hajiji berkata pensijilan halal merupakan elemen penting dalam meyakinkan pengguna terhadap status halal sesuatu produk serta selamat dimakan dan digunakan, selain dapat membantu pengusaha IKS mengetengahkan produk ke luar negara.

“Saya berharap usaha MUIS memperkenal dan membuat pendekatan drastik membantu IKS memperoleh pensijilan Halal Malaysia melalui Sijil Halal Industri Kotej (SHIK) bagi pengusaha yang belum memiliki tempat khusus untuk memproses produk atau kilang tetap, akan diperluas ke seluruh negeri.

“Cara ini sudah tentu akan membantu IKS mempromosi produk dengan lebih meluas. Saya mengharapkan agar pengusaha IKS mengambil peluang ini bagi memperoleh sijil Halal Malaysia melalui SHIK untuk mengembangkan perniagaan,” katanya pada Sabah International Halal Expo (SAHEX) 2024 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Hajiji berkata SAHEX 2024 ialah platform yang baik untuk memperkenalkan produk-produk tempatan Sabah yang telah dipersijilkan halal oleh MUIS menerusi MUIS Halal Hab.

Beliau berkata halal bukan sahaja dikaitkan dengan perindustrian makanan dan minuman, malah skopnya amat luas merangkumi produk serta perkhidmatan melibatkan penjagaan kesihatan dan farmaseutikal, selain kosmetik dan pelancongan.

Katanya industri halal di Malaysia menyediakan peluang amat besar, justeru pengusaha IKS di Sabah perlu merebut peluang untuk terbabit dalam industri halal di negara ini.

“Kerjasama antara agensi-agensi kerajaan dan swasta di negeri ini amat penting dalam pengurusan halal bagi memperkasa aspek pensijilan halal khususnya kepada usahawan IKS. Usaha ini penting agar mereka juga mampu bersaing dan memiliki keupayaan dalam pasaran industri halal di Sabah.

“Ini juga bagi memastikan lebih ramai lagi usahawan IKS di Sabah akan mempunyai persijilan halal bagi memudahkan mereka mempromosi produk hingga ke luar negara," katanya sambil berharap lebih banyak lagi kempen kesedaran berkaitan mendapatkan sijil halal diadakan khususnya untuk usahawan IKS di negeri ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan