AM

KADAR KEBOLEHPASARAN GRADUAN KOLEJ KEDA MENINGKAT KEPADA 98.5 PERATUS

15/07/2024 09:48 AM

ALOR SETAR, 15 Julai (Bernama) -- Kadar kebolehpasaran pelajar lepasan Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Kolej KEDA) dalam bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) meningkat kepada 98.5 peratus pada tahun lalu.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang berkata angka itu menunjukkan Kolej KEDA berjaya melahirkan pekerja berkemahiran khususnya dari kawasan luar bandar untuk memenuhi keperluan industri masa kini.

"Pada tahun lalu, kebolehpasaran graduan yang mendapat pekerjaan adalah sebanyak 98.50 peratus yang merangkumi 74.59 peratus berada dalam pasaran kerja, usahawan (4.92 peratus) dan menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi (18.03 peratus).

"Secara keseluruhannya Kolej KEDA telah melahirkan seramai 8,224 graduan menerusi lapan bidang TVET yang ditawarkan iaitu teknologi elektrik, teknologi kimpalan, teknologi motosikal, kulinari, teknologi automotif, teknologi fabrik (wanita), teknologi fabrik (lelaki) serta teknologi penyejukbekuan dan penyaman udara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Graduasi Kolej KEDA ke-12 dan Pelancaran Tahfiz TVET 3.0 Kolej KEDA yang diadakan di Dewan Konvokesyen Universiti Antarabangsa Albukhary, di sini, semalam.

Menurut Rubiah, Kolej KEDA juga telah menerima penarafan lima bintang bagi penarafan tunggal TVET 2023 dari Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Malaysia melalui aspek penilaian dan pematuhan elemen-elemen pembelajaran dan pengajaran latihan kemahiran yang telah ditetapkan.

Beliau berkata penambahbaikkan dan peningkatan kemahiran dalam kalangan pengajar dan pelajar sentiasa diutamakan agar seiring dengan perubahan keperluan kemahiran terutama dari pemain industri.

Rubiah berkata KKDW menerusi Kolej KEDA juga komited untuk melahirkan pelajar lepasan pengajian tahfiz berkemahiran yang dilaksanakan menerusi program Tahfiz TVET@Kolej KEDA 3.0.

Menurutnya, sejak 2021 sebanyak RM312,000 telah diperuntukkan bagi tujuan tersebut yang memanfaatkan seramai 152 pelajar dari 19 pusat tahfiz terpilih di negeri ini.

"Bagi tahun ini, Kolej KEDA telah memperuntukkan sebanyak RM175,000 untuk program Tahfiz TVET@Kolej KEDA 3.0 dengan melibatkan 80 pelajar dari 10 pusat tahfiz.

"Program Tahfiz TVET@Kolej KEDA merupakan sebuah program pengajian kemahiran jangka pendek yang telah dirangka secara khusus kepada para pelajar tahfiz bertujuan menyediakan modal insan berkemahiran untuk mengharungi alam pekerjaan kelak,” katanya.

Terdahulu, pada majlis yang turut dihadiri Pengurus Besar KEDA Ismasuhaimi Shariff itu, seramai 593 graduan menerima sijil masing-masing yang terdiri daripada graduan Kolej KEDA dari 2019 hingga 2023.

Sementara itu, penerima Anugerah Tokoh Graduan Terbaik 2022, Muhammad Muzzakir Salleh, 24, berkata dia berasa sangat bertuah menerima pendidikan di Kolej KEDA yang dilengkapi dengan infrastruktur dan peralatan terkini yang memudahkannya menjalani latihan.

"Insya-Allah selepas ini saya bercadang untuk sambung pengajian di peringkat ijazah sambil bekerja, ketika ini saya sudah bekerja sebagai pegawai penilai di Institut Kemahiran Tinggi di Jerantut, Pahang," katanya yang merupakan pelajar lepasan dalam bidang Teknologi Penyejukbekuan dan Penyaman Udara.

Penerima Anugerah Tokoh Akademik Terbaik 2019 dan 2020, Shuhaili Romzi, 25, yang mengikuti pengajian dalam bidang Teknologi Kulinari pula berkata dia berasa terharu kerana dipilih menerima anugerah itu dan menyifatkan pengajian di Kolej KEDA sangat selesa kerana pelbagai kemudahan disediakan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan