EKONOMI

MAJORITI SYARIKAT E&E, SEMIKONDUKTOR OPTIMIS DENGAN PRESTASI BAGI SUKU KETIGA 2024

15/07/2024 01:39 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- 60 peratus syarikat dalam industri elektrik dan elektronik (E&E)/semikonduktor di Malaysia optimis mengenai prestasi perniagaan mereka pada suku ketiga tahun ini, menurut tinjauan oleh Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA).

MSIA menjelaskan keyakinan tersebut didorong oleh permintaan bagi elektronik pengguna, automotif dan kecerdasan buatan (AI).

Selain itu, 85 peratus daripada syarikat yang ditinjau juga sedang mengambil jurutera dan juruteknik pada suku ini.

“58 peratus daripada syarikat mempunyai prospek pelaburan yang cerah bagi suku ketiga 2024,” tambahnya dalam kenyataan pada Isnin sempena pelancaran MSIA E&E/Semiconductor Quarterly Pulse Survey bagi Suku Kedua 2024.

Objektif tinjauan itu untuk menilai sentimen, aliran, cabaran dan peluang dalam industri E&E/ semikonduktor Malaysia berdasarkan suku tahunan.

MSIA memaklumkan 39 peratus syarikat melaporkan prestasi perniagaan yang lebih baik pada suku kedua berbanding suku pertama 2024, menunjukkan sentimen industri yang positif.

“Cabaran terbesar pada suku kedua 2024 ialah kekurangan bakat dan persaingan pasaran atau nilai perolehan kontrak,” tambahnya.

Menurut persatuan itu syarikat juga menyasarkan peluang untuk berkembang ke pasaran baharu, melabur dalam teknologi baharu dan membangunkan produk baharu, dengan 72 peratus daripadanya mempunyai prospek keseluruhan yang optimistik dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Di samping itu, 74 peratus syarikat yang ditinjau mempunyai sentimen positif terhadap penggunaan AI generatif dalam industri semikonduktor yang akan memberi kesan merentas keseluruhan operasi dan strategi mereka.

Menurut MSIA, eksport E&E Malaysia pada 2023 bernilai RM575 bilion, menyumbang 40 peratus kepada jumlah eksport, iaitu melebihi gabungan sembilan eksport terbesar seterusnya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan