EKONOMI

PELAKSANAAN PERALIHAN TENAGA BERSISTEMATIK MAMPU ANGKAT MALAYSIA JADI DESTINASI PELABURAN HIJAU PILIHAN - PM ANWAR

15/07/2024 08:59 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaksanaan peralihan tenaga dan pelaburan hijau yang lebih berkesan, teratur dan sistematik amat perlu bagi mengangkat imej, reputasi dan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan hijau pilihan.

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bilangan 5 Tahun 2024 hari ini berkata mesyuarat itu telah menilai dan bersetuju ke atas pelan tindakan dalam usaha meningkatkan kedudukan daya saing negara.

“Sayugia, usaha ini dijangka mengupaya lonjakkan semula kedudukan Malaysia dalam Laporan Indeks Daya Saing World Competitiveness Index yang diterbitkan oleh Institute for Management Development (IMD).

“Kerajaan MADANI amat optimistik dan percaya bahawa Malaysia mampu memperbaiki kedudukan daya saingnya dan mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan demi untuk kesejahteraan rakyat,” kata beliau menerusi satu hantaran di laman X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter, hari ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata beberapa hasil kajian terkait pelan strategik disentuh pada mesyuarat tersebut untuk meningkatkan pelaburan hijau selari dengan tumpuan menjadikan Malaysia sebagai destinasi dan hab pelaburan hijau utama serantau.

Beliau berkata ikhtiar itu amat penting untuk merealisasikan sasaran karbon sifar bersih seawal tahun 2050, seperti yang telah ditetapkan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan