EKONOMI

BURSA MALAYSIA, PRIBUMI LANCAR INDEKS ZAKAT PERTAMA DI DUNIA

15/07/2024 03:47 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd dan Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia (PRIBUMI) melancarkan Indeks Zakat Bursa Malaysia PRIBUMI (PBMZI), indeks khusus baharu yang diwujudkan untuk menggalakkan lebih kesedaran dalam kalangan syarikat senaraian awam (PLC) yang memilih untuk menerima guna amalan zakat korporat.

Pengerusi bursa Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata pelancaran Indeks Zakat -- yang pertama di dunia -- bertujuan menghargai penerbit tersenarai yang membayar zakat dan menggalakkan sumbangan zakat yang lebih besar daripada banyak PLC.

“Pada masa ini, Indeks Zakat mempunyai 27 konstituen melibatkan pelbagai sektor, termasuk perkhidmatan kewangan, utiliti telekomunikasi, hartanah, perladangan, teknologi, penjagaan kesihatan, pengangkutan, produk pengguna dan tenaga,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Indeks Zakat di sini hari ini.

Beliau berkata PBMZI menjejaki prestasi 200 syarikat utama yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia serta memenuhi kriteria kelayakan khusus, iaitu syarikat menguntungkan yang melaksanakan sumbangan zakat korporat.

“Syarikat yang disenarai pendek kemudiannya akan menjalani saringan teliti untuk memastikan mereka tiada kontroversi ketara yang diketahui sebelum dianggap layak untuk dimasukkan dalam indeks itu,” katanya sambil memaklumkan PLC yang layak dipertimbangkan dalam indeks itu adalah berdasarkan permodalan pasaran.

Abdul Wahid melahirkan keyakinan bahawa jumlah konstituen akan meningkat pada masa hadapan.

“Kami akan mengadakan kajian separuh tahunan bagi konstituen PBMZI pada Jun dan Disember. Diharap, kita akan mempunyai lebih banyak syarikat yang akan menjadi sebahagian daripadanya dan apabila mereka membayar zakat, mereka akan disenaraikan dalam indeks ini,” katanya.

Beliau berkata idea PRIBUMI dan Bursa Malaysia untuk bekerjasama dalam Indeks Zakat adalah susulan kesedaran kedua-dua pihak terhadap impak berpotensi yang boleh diberikan kepada peningkatan sumbangan syarikat pembayar zakat dalam ekonomi.

“Memanfaatkan keupayaan dalaman kami untuk menganalisis dan menghitung indeks, Indeks Zakat adalah usaha sulung kami dalam indeks khusus ini, mengembangkan keupayaan kami untuk menyediakan pelabur alat untuk mengesan strategi dan mandat pelaburan tertentu,” katanya.

Beliau berkata Indeks Zakat diselaraskan hampir kepada tonggak sosial alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan selari dengan objektif meluas Maqasid al-Shariah, yang menggalakkan keadilan sosial dan kesaksamaan ekonomi.

“Dengan mengetengahkan syarikat menguntungkan yang secara aktif memenuhi kewajipan zakat, Indeks Zakat bertujuan menarik pelabur yang mempunyai kesedaran sosial, justeru meningkatkan penyertaan pasaran dan mengukuhkan status Malaysia sebagai hab kewangan Islam global,” katanya

Sumbangan zakat daripada 27 PLC pada masa ini yang disertakan dalam Indeks Zakat berjumlah RM233 juta pada tahun lepas, meningkat daripada RM197 juta pada 2022 dan RM142 juta pada 2021.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan