EKONOMI

ALIRAN MASUK PELABUR ASING DALAM EKUITI MALAYSIA NAIK KEPADA US$598 JUTA PADA SUKU PERTAMA 2024

15/07/2024 06:39 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Pelabur asing terus menunjukkan minat dalam ekuiti Malaysia dengan aliran masuk terkumpul sebanyak US$598.0 juta (US$1=RM4.67) pada suku pertama 2024 dari US$170.7 juta pada suku keempat 2023.

Bursa Malaysia Bhd dalam laporannya bertajuk “Analisis Aliran Modal Institusi untuk Suku Pertama 2024” yang disiarkan pada platform media sosial X hari ini berkata pelabur Amerika Utara terus menambah ekuiti Malaysia ke dalam portfolio mereka dengan aliran masuk berjumlah US$413.5 juta pada suku tersebut.

“Pada suku pertama 2024, The Vanguard Group Inc kembali sebagai pembeli bersih ekuiti Malaysia dan merekodkan US$259.7 juta aliran masuk asing daripada US$308.4 juta pada suku keempat 2023. Kenaikan itu adalah sumbangan dari saham bernilai US$121.3 juta CIMB Group Holdings Bhd kepada portfolionya ,” katanya.

Bursa Malaysia berkata T. Rowe Price Hong Kong Ltd juga bersih menambah ekuiti Malaysia yang berjumlah kepada US$215.4 juta, dengan minat belian kebanyakannya dalam sektor kewangan.

“Selain itu, aliran masuk daripada BlackRock Fund Advisors melonjak dengan ketara suku ke suku kepada US$108.7 juta daripada US$14.2 juta pada suku keempar 2023, pembelian bersih tertinggi sepanjang empat suku lepas,” katanya.

Di peringkat industri, ia berkata pelabur asing membuat pembelian dalam industri kewangan dengan aliran masuk sebanyak US$344.9 juta, kebanyakannya dipacu oleh The Vanguard Group, Inc (US$162.4 juta) diikuti oleh T. Rowe Price Hong Kong Ltd (US$141.8 juta).

“Kaunter kewangan yang mengatasi aliran masuk asing ialah CIMB Group Holdings Bhd (US$231.1 juta) dan Malayan Banking Bhd (US$196.6 juta),” katanya.

Berdasarkan sampel S&P Global Market Intelligence bagi lebih 2,000 institusi dan dana, aliran agregat daripada dana global dan domestik menjadi pembeli bersih pada suku pertama 2024 dengan aliran masuk kolektif sebanyak US$1,091.1 juta (suku keempat 2023: RM2,502.9 juta), kata laporan tersebut.

Pelabur domestik merupakan penyokong terbesar ekuiti Malaysia, memacu aliran masuk yang ketara sebanyak US$493.1 juta dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadi penyumbang utama dengan belian bersih sebanyak US$599.5 juta.

Bursa Malaysia berkata sembilan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang dijejaki dalam pangkalan data bertukar sebagai pembeli bersih pada suku pertama 2024 selepas menambah ekuiti tempatan bernilai US$226.5 juta daripada US$870.0 juta.

Sementara itu, Bursa Malaysia berkata teknologi kekal sebagai sektor pilihan selepas pembelian bersih untuk suku keempat berturut-turut.

“Pada suku pertama 2024, GLIC meningkatkan lagi momentum pembelian mereka kepada saham teknologi bernilai US$547.5 juta, mewakili 22.8 kali ganda daripada suku sebelumnya daripada US$24.0 juta pada suku keempat 2023.

“Momentum itu kebanyakannya didorong oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang menyumbang aliran masuk bersih US$401.1 juta, diikuti KWSP (AS$175.8 juta),” katanya.

Selain itu, Bursa Malaysia berkata menerusi sokongan PNB, Maxis Bhd menerima aliran masuk bersih sebanyak US$452.4 juta pada suku pertama 2024 yang mengimbangi pelupusan oleh GLIC lain.

Laporan itu berdasarkan pangkalan data S&P Global Market Intelligence.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan