AM

PENGERUSI IKIM DIPILIH AHLI KEHORMAT KESATUAN ULAMA ISLAM SEDUNIA

15/07/2024 10:06 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof  Datuk Dr Muhammad Nur Manuty dipilih sebagai Ahli Kehormat Kesatuan Ulama Muslim Sedunia (IUMS) berkuat kuasa hari ini. 

Ketua Pengarah IKIM Prof Madya Datuk Dr Mohamad Azam Mohamed Adil berkata pemilihan itu diumumkan Presiden IUMS Sheikh Ali Al-Qaradaghi dalam acara Global MADANI Forum anjuran IKIM pada Khamis lepas.

Pemilihan Muhammad Nur katanya berdasarkan sumbangan besar beliau dalam bidang pemikiran Islam semasa selain pembabitannya dalam lapangan dakwah tempatan dan antarabangsa.

“Beliau juga merupakan tokoh ilmuan yang disegani berdasarkan pengalaman luas dalam bidang pendidikan, pemikiran, falsafah, perbandingan agama dan pengurusan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohamad Azam berharap pengiktirafan itu dapat memantapkan kerjasama IKIM dan Malaysia dengan rangkaian ulama seluruh dunia dalam usaha membina Islam manhaj sederhana demi membina tamadun khayra ummah.

Muhammad Nur juga adalah tokoh kedua diiktiraf sebagai Ahli Kehormat IUMS selepas Sheikh Raed Salah Abu Shakra dari Palestin.

-- BERNAMA


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan