AM

ISU DIBINCANG DI SBWP DIHANTAR KEPADA JWP UNTUK DITELITI - DR ZALIHA

15/07/2024 08:29 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Isu-isu yang dibincangkan dalam Sidang Belia Wilayah Persekutuan (SBWP) akan dihantar dalam bentuk memorandum kepada Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) untuk penelitian sepenuhnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) merangkap penaung SBWP Dr Zaliha Mustafa berkata langkah itu supaya cadangan dan permintaan yang dibangkitkan oleh ahli SBWP akan diterapkan dalam pembangunan dasar negara pada masa hadapan.

"Sepanjang tiga hari SBWP bersidang sejak Sabtu lepas, 15 isu telah dibincangkan antaranya termasuk perumahan mampu milik dan kenaikan gaji.

"Jadi (isu-isu) ini memang dekat dalam hati rakyat dan sering diperbincangkan orang ramai, terutamanya golongan belia," katanya dalam sidang media selepas sesi penggulungan SBWP di sini hari ini, yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan selaku Speaker SBWP.

SBWP bersidang buat julung kalinya pada 13 hingga 15 Julai susulan penubuhannya pada tahun ini dengan keahlian sebanyak 65 belia mewakili kawasan Parlimen dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Zaliha berkata isu yang dibangkitkan dalam sesi SBWP kemungkinan dibawa ke peringkat Parlimen.

“Kenapa tidak? kita sebenarnya boleh (bawa ke Parlimen) jika kita mahu. Setiap isu dibincangkan sejak tiga hari lepas adalah berdaya maju untuk kita bawa ke Parlimen. Agak bagus juga untuk kita meneliti secara mendalam dan membawanya ke peringkat seterusnya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan