EKONOMI

SUKUK MURABAHAH SENIOR RM1 BILION BANK ISLAM RAIH MINAT KUKUH PELABUR

15/07/2024 09:20 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Sukuk Murabahah Senior RM1.0 bilion Bank Islam Malaysia Bhd yang diterbitkan hari ini meraih sambutan yang menggalakkan daripada para pelabur, dengan nisbah bidaan kepada terbitan melebihi 3.2 kali ganda saiz terbitan selepas peningkatan daripada RM500.0 juta.

Dalam satu kenyataan hari ini, Bank Islam berkata penerbitan sukuk itu adalah sebahagian daripada program murabahah sukuk bernilai RM10.0 bilion dalam nilai nominal.

“Hasil daripada terbitan ini akan membiayai aktiviti perbankan Bank Islam, keperluan modal kerja dan tujuan korporat lain.

"Penggunaan hasil di bawah program sukuk murabahah juga hendaklah patuh Syariah," katanya.

Bank itu berkata sukuk senior murabahah itu yang masing-masing mempunyai tempoh lima tahun (siri pertama) dan tujuh tahun (siri dua), diberi penarafan “AA3/stabil” oleh RAM Ratings Services Bhd.

“Ia menawarkan kadar keuntungan tetap sebanyak 4.01 peratus dan 4.13 peratus setahun,” katanya.

Bank Islam ialah penasihat utama, pengatur utama, pengurus utama dan penasihat syariah untuk program sukuk murabahah itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan