EKONOMI

IILM TERBIT SEMULA SUKUK JANGKA PENDEK US$940 JUTA DALAM 3 SIRI

09/07/2024 11:08 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa (IILM) telah melengkapkan lelongan ketujuhnya untuk tahun ini dengan terbitan semula agregat US$940 juta (US$1=RM4.70) dalam sukuk jangka pendek yang merentas tiga siri.

Tiga siri itu terdiri daripada terbitan US$440 juta untuk tempoh satu bulan pada 5.30 peratus, US$300 juta bertempoh tiga bulan pada 5.40 peratus dan US$200 juta bagi tempoh enam bulan pada 5.55 peratus.

“Penerbitan semula sukuk itu menyaksikan persaingan tender yang kompetitif dalam kalangan peniaga utama dan pelabur dari pasaran di seluruh rantau Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta Asia, dengan gabungan tempahan dalam tangan melangkaui US$2.01 bilion, mewakili purata nisbah bida kepada perlindungan sebanyak 214 peratus,” katanya melalui satu kenyataan .

IILM telah mencapai terbitan kumulatif tahun sehingga kini berjumlah US$6.63 bilion melalui 21 siri sukuk.

Sukuk jangka pendek IILM diedarkan oleh rangkaian 11 peniaga utama di seluruh dunia seperti Abu Dhabi Islamic Bank, Al Baraka Turk, Affin Islamic Bank, Boubyan Bank, CIMB Islamic Bank Bhd, Dukhan Bank, First Abu Dhabi Bank, Kuwait Finance House, Maybank Islamic Bhd, Qatar Islamic Bank dan Standard Chartered Bank.

Jumlah keseluruhan sukuk IILM tertunggak kini mencecah US$3.51 bilion.

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan