AM

IPRM SOKONG AKTA PENGAMAL PR SEMPENA HARI PR SEDUNIA

16/07/2024 12:06 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Sempena sambutan Hari PR Sedunia hari ini Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM) komited bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi mengubal Akta Perhubungan Awam (PRPA) yang inklusif dan menyokong landskap PR Malaysia yang semakin berkembang.

Menurut IPRM dengan memperjuangkan amalan komunikasi yang bertanggungjawab dan menjaga integriti profesion perhubungan awam, IPRM berusaha mewujudkan ekosistem komunikasi yang lebih beretika serta boleh dipercayai.

Presidennya Jaffri Amin Osman berkata kajian semula draf PRPA sedia ada perlu memandangkan perubahan pasaran sepanjang lima tahun lepas selain bagi melindungi dan membimbing pengamal serta industri secara keseluruhan daripada amalan tidak beretika.

Jaffri dalam satu kenyataan berkata akta ini bukan bertujuan mengawal industri sebaliknya untuk menyediakan asas yang kukuh dalam membangunkan profesion PR serta komunikasi supaya diiktiraf sebagai amalan profesional dan untuk meningkatkan ranking dalam industri ini.

Sementara itu, felow kanan IPRM, bekas presiden dan profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid berkata semua eksekutif PR dan komunikasi perlu mengamalkan komunikasi yang bertanggungjawab.

“Komunikasi yang bertanggungjawab mesti faktual, menyampaikan maklumat yang dipercayai selain memberi manfaat kepada individu dan masyarakat serta beretika. 

“Editor media harus menerima siaran akhbar dan kenyataan yang betul, tepat dan bertanggungjawab. Saya percaya Akta PR yang dicadangkan boleh menyuburkan tahap profesionalisme dalam amalan kita,” katanya.

Hari PR Sedunia disambut pada 16 Julai setiap tahun sebagai mengiktiraf peranan penting perhubungan awam (PR) dalam membentuk pendapat umum, memupuk kepercayaan dan memacu komunikasi yang berkesan.

Menurut kenyataan itu, Persidangan Komunikasi Beretika dan Bertanggungjawab (ICERC) anjuran IPRM di Putrajaya hari ini bersempena Hari PR Sedunia itu menjadi bukti dedikasi IPRM dalam menegakkan piawaian amalan etika dalam industri.

Acara penting itu yang dianjurkan dengan kerjasama Communications Ministry and the Global Alliance for PR and Communication Management Switzerland yang menghimpunkan pelbagai kumpulan pihak berkepentingan untuk mempromosikan kesedaran etika, berkongsi pengetahuan dan memupuk pembangunan profesional dalam kalangan pengamal. 

ICERC bakal dirasmikan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan dijangka dihadiri 400 peserta dari seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan