JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TUNGGU LAPORAN MAKMAL TENTUKAN PUNCA KEMATIAN NUR FARAH KARTINI

16/07/2024 09:38 PM

SHAH ALAM, 16 Julai (Bernama) -- Polis sedang menunggu laporan makmal bagi menentukan punca kematian berhubung kes pembunuhan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nur Farah Kartini Abdullah. 

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata proses bedah siasat telah selesai dilakukan oleh Pakar Patologi Forensik Hospital Sungai Buloh pada 5.30 petang tadi. 

"Pihak polis juga masih menjalankan siasatan lanjut dan memohon mana-mana saksi kejadian untuk tampil ke balai berhampiran bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Beliau dalam masa sama turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan gambar atau melakukan perkara yang boleh mengganggu siasatan kes berkenaan. 

Terdahulu, suspek yang merupakan seorang anggota polis direman tujuh hari bagi membantu siasatan. 

Media sebelum ini melaporkan mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak Rabu lepas, ditemukan 6 petang semalam di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam, Hulu Selangor. 

Gadis berusia 25 tahun berasal dari Miri, Sarawak itu dilaporkan gagal dikesan selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan berhampiran Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan