DUNIA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP TINGGI SUSULAN PRESTASI KUKUH MINYAK KACANG SOYA

16/07/2024 09:39 PM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Selasa berikutan kekukuhan pasaran minyak kacang soya di Lembaga Dagangan Chicago, kata peniaga minyak sawit David Ng.

Beliau berkata peningkatan niaga hadapan MSM kemudiannya disokong oleh prestasi eksport yang lebih teguh berbanding jangkaan, mencerminkan peningkatan permintaan yang menyeluruh dan situasi dagangan yang menggalakkan bagi produk minyak sawit.

“Kami mengesan paras sokongan pada RM3,850 dan rintangan pada RM4,000," katanya kepada Bernama.

Pada penutupan dagangan, kontrak bulan semerta Ogos 2024 meningkat RM45 kepada RM3,966 satu tan, September 2024 naik RM49 kepada RM3,944 satu tan, dan Oktober 2024 menokok RM51 kepada RM3,925.

Kontrak November 2024 melonjak RM52 kepada RM3,917 satu tan, Disember 2024 meningkat RM53 kepada RM3,924 satu tan, dan Januari 2025 menokok RM49 kepada RM3,935 satu tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 55,822 lot daripada 50,012 pada Isnin manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 220,707 kontrak daripada 223,188 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan adalah RM40 lebih tinggi kepada RM4,040 satu tan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan