AM

SEDEKAD BERLALU TRAGEDI MH17, KEADILAN AKAN TERUS DITUNTUT

17/07/2024 11:26 AM

Oleh Lucia Terey Anak John

KUALA LUMPUR,  17 Julai (Bernama) -- Tanggal 17 Julai 2024, genap sedekad tragedi hitam menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS)  Penerbangan MH17 apabila ia terhempas dari ketinggian 30,000 kaki di wilayah Ukraine selepas ditembak jatuh oleh kumpulan pemberontak di negara berkenaan. 

Dalam kejadian menyayat hati itu, kesemua 298 penumpang dan anak kapal yang berada di dalam pesawat Boeing 777 berkenaan terkorban iaitu 193 warganegara Belanda, Malaysia (43), Australia (27), Indonesia (12), United Kingdom (10), Belgium (empat), Jerman (empat), Filipina (tiga) dan masing-masing satu dari Kanada dan New Zealand.

Peristiwa menyayat hati dan mencetus kecaman pada peringkat antarabangsa itu sesungguhnya mengejutkan Malaysia yang ketika itu baru sahaja empat bulan melalui episod kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac, yang sehingga kini kekal menjadi misteri kepada sejarah penerbangan dunia.

Pesawat komersial MH17 berlepas pada 12.15 tengah hari (waktu Amsterdam) dari Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam dan dijadual tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) Jumaat, 18 Julai.

Bagaimanapun, pada 10.15 malam (waktu Malaysia) MAS menerima makluman daripada Trafik Kawalan Udara (ATC) Ukraine bahawa ia terputus hubungan dengan Penerbangan MH17 pada waktu 1415 (GMT), pada kedudukan 30 kilometer (km) dari Tamak, kira-kira 50 km dari sempadan Rusia–Ukraine.

Berita antarabangsa kemudian melaporkan penemuan bangkai pesawat berhampiran perkampungan Grobovo, Ukraine di wilayah dikuasai pemberontak berhampiran sempadan Rusia dengan beberapa imej menunjukkan bangkai pesawat, mayat dan barangan peribadi bertaburan sejauh beberapa kilometer.

Berdasarkan laporan akhir nahas yang dikeluarkan Pasukan Siasatan Bersama (JIT) pada 24 Mei 2018 selepas 15 bulan siasatan dijalankan, ia menyimpulkan pesawat itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu milik tentera Rusia, BUK TELAR yang mengenai sebelah kiri kokpit pesawat berkenaan.

Namun, di sebalik pelbagai bukti ditemukan pasukan penyiasat, tiada pihak yang mahu membuka mulut mengaku membedil pesawat berkenaan, tetapi demi menuntut keadilan buat mangsa dan keluarga mereka, Malaysia dan beberapa negara terlibat telah berusaha sehabis baik untuk membawa dalang yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Hal ini termasuk menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya menubuhkan tribunal jenayah bagi mendakwa mereka dan pada Jun 2019, tiga rakyat Rusia iaitu Igor Girkin, Sergey Dubinsky dan Oleg Pulatov, serta seorang rakyat Ukraine Leonid Kharchenko akhirnya didakwa secara in absentia di Mahkamah Daerah The Hague atas pertuduhan membunuh.

Pada 17 Nov 2022, mahkamah itu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Girkin, Dubinsky dan  Kharchenko selepas didapati bersalah atas pertuduhan menembak jatuh pesawat MH17 dan menyebabkan kesemua 298 penumpang dan krunya terbunuh, manakala Pulatov dilepaskan atas pertuduhan sama.

Tiga tertuduh itu juga diperintahkan membayar pampasan lebih 16 juta Euro (RM75.26 juta) kepada keluarga mangsa.

Mahkamah itu dalam penghakiman memutuskan bahawa mahkamah tidak meragui sama sekali bahawa MH17 telah terkena sebutir peluru berpandu BUK yang ditembak dari padang di ladang di timur Ukraine.

“Ini jelas daripada gambar jejak asap di langit, kenyataan seorang saksi yang dilindungi, imej satelit, perbualan telefon yang dipintas dan data tiang penghantaran, gambar dan video mengenai seunit BUK TELAR sedang diangkut dan dipunggah,” menurut penghakiman itu.

Sementara itu, pada 15 Julai lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerajaan Malaysia tetap teguh dan komited untuk meneruskan tindakan undang-undang di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Belanda terhadap mereka yang bertanggungjawab dalam tragedi pesawat MH17.

“Ya, memang dari segi tindakan undang-undang di peringkat antarabangsa akan diteruskan dan Malaysia bersama-sama dengan negara-negara terlibat," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Penerbangan Mencari dan Menyelamat, Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology  Prof Madya Mejar Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata walaupun mereka telah disabitkan atas kesalahan itu, namun hukuman terhadap mereka masih tidak dapat dilaksanakan.

“Walaupun mereka telah disabitkan, langkah-langkah untuk membawa mereka kepada hukuman fizikal nampaknya tiada kemajuan yang jitu. Perkara ini merunsingkan pihak keluarga mangsa yang setiap tahun inginkan keadilan untuk ahli keluarga mereka,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, katanya jaminan kerajaan untuk terus menuntut keadilan kepada mangsa terlibat akan memberi kelegaaan kepada keluarga mangsa.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan